Kakitangan DBKL tak muncul, mahkamah lepaskan pengayuh basikal
Mahkamah hari ini melepaskan seorang pengayuh basikal berusia 23 tahun yang didakwa menghalang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas kakitangan terbabit gagal hadir di mahkamah.
Peguam, Eric Paulsen berkata kes terhadap anak guamnya, Muhammad Nur Rabbani Shariffhuddin, pada mulanya ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur petang ini.
"Pengadu tidak muncul di mahkamah walaupun sepina telah disampaikan kepadanya dan dia telah dihubungi oleh pegawai penyiasat.
"Dia (pengadu) tidak memberikan respons sehingga majistret membenarkan anak guam saya dilepaskan tanpa dibebaskan," kata Paulsen kepada Malaysiakini.
Muhammad Nur Rabbani didakwa terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang seorang penjawat awam daripada menjalankan tugas.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu terhadap kakitangan DBKL, Muhd Farzli Mohamad kira-kira pukul 10.15 pagi 19 Feb lepas di luar ibu pejabat DBKL di Jalan Raja Laut.
Sekumpulan 40 pengayuh basikal pada masa itu berhimpun untuk membantah tindakan DBKL merampas basikal mereka dan mendakwa pihak berkuasa itu merosakkan basikal bernilai RM3,000 yang ditinggalkan berkunci di tepi jalan.
Mereka juga mendakwa terpaksa meletak basikal di tepi jalan kerana tidak ada tempat khas disediakan.

