Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di S'gor air percuma tapi rumah saya tiada air, kata menteri

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan Pakatan Harapan (HARAPAN) agar tidak lagi membuat janji manis yang tidak mampu ditunaikan, menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan merujuk tawaran HARAPAN Johor yang menjanjikan air percuma untuk semua penduduk negeri itu jika mereka menang PRU ke-14.

Beliau berkata setiap janji menjadi sia-sia apabila tidak mampu ditunaikan dan yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri.

Menceritakan pengalamannya sendiri, Hishammuddin membangkitkan masalah air yang sering berlaku di Selangor - negeri yang menawarkan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada penduduknya.

"Saya nak ingatkan mereka, dulu mereka janji air percuma di Selangor tapi pada masa ini rumah saya di Taman TAR (di Ampang Jaya) sendiri tak ada air.

"Saya, menteri pertahanan, jadi salah seorang mangsa kepada janji kosong mereka," kata anggota parlimen Sembrong pada sidang media di Parlimen hari ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) berkata sejumlah 427 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air bermula 6 Mac lalu dan dijangka berterusan sehingga hujung minggu ini.

Ia berikutan kerja pembaikan terhadap Sistem Mampatan Udara yang pecah di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang masih berjalan dan dijangka siap hari ini, katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata beliau yakin pengundi di Johor tidak akan terpengaruh dengan janji HARAPAN.

"Manifesto mereka dulu tidak dapat ditunaikan. Macam mana kita nak percaya apa yang dibentangkan sekarang?" soalnya.

Harga air di Johor mencecah 80 sen setiap meter padu untuk 20 meter padu pertama, iaitu kadar tertinggi di negara ini dan 23 sen lebih mahal di lembah Klang. Harga meningkat untuk setiap meter padu berikutnya.

Namun bagi golongan berpendapatan rendah, kerajaan negeri memberikan air percuma untuk 35 meter padu pertama.

Lihat Komen
ADS