Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar: SPR didakwa langgar perlembagaan, pembantah dinafi hak didengari

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR didakwa telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan melengkapkan laporan akhirnya mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya tanpa terlebih dahulu menyelesaikan inkuiri tempatan untuk mendengar bantahan yang dikemukakan.

Menurut pemangku pengerusi BERSIH Sharul Aman Mohd Saari, hanya kira-kira 29 peratus daripada bantahan untuk pusingan kedua inkuiri tempatan di Selangor didengar sehingga ini.

"Terdapat kira-kira 200 lagi mereka yang membantah dinafikan hak perlembagaan mereka untuk didengari. Ini adalah satu pelanggaran Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Malaysiakini.

SPR menyerahkan laporan akhir kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri Tanah Melayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Sharul berkata penyerahan laporan itu kepada perdana menteri semalam mengejutkan apabila pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dilaporkan berkata dua hari lalu bahawa suruhanjaya itu tidak akan "tergesa-gesa" dengan laporan itu kerana ia merupakan satu proses yang "rumit".

Menurut Artikel 5 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, SPR "hendaklah" mengadakan inkuiri tempatan untuk mendengar bantahan dari kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau kumpulan pengundi.

Pakar perlembagaan berkata istilah "hendaklah" dalam Perlembagaan Persekutuan dianggap ditafsirkan sebagai "mesti".

SPR abaikan bantahan MBPJ

Terdapat dua pusingan inkuiri tempatan di Selangor sehingga ini walaupun inkuiri tempatan kedua hanya diadakan selama empat hari dari 26 Feb hingga 1 Mac.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang mengemukakan bantahannya untuk inkuiri tempatan, adalah antara yang tidak dipanggil menghadirinya.

Ahli MBPJ, Derek Fernandez berkata, majlis itu berkewajipan untuk membantah walaupun jika SPR mencadangkan agar persempadanan dikekalkan. sedangkan ada perubahan demografi.

"Kerusi parlimen Petaling Jaya Utara dan kerusi negeri Bukit Gasing mempunyai ramai pengundi berbanding dengan purata nasional atau bahkan Selangor.

"Dengan tidak memanggil MBPJ untuk inkuiri tempatan selepas ia memfailkan bantahan, pada pendapat saya, adalah satu pelanggaran Perlembagaan Persekutuan," kata Fernandez, yang juga seorang peguam veteran.

Latheefa Koya, peguam bagi kerajaan Selangor dalam samannya terhadap SPR, berkata bahawa sehingga Jumaat lepas, peguam SPR telah memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa inkuiri tempatan belum selesai.

Di samping itu, kata Latheefa, penyerahan laporan akhir SPR kepada perdana menteri itu memberi tanggapan bahawa suruhanjaya itu tidak menghiraukan kes-kes terhadapnya yang belum selesai mengenai persempadanan semula yang dibawa oleh kerajaan Selangor.

"Proses rayuan kami masih belum habis lagi. Satu lagi kes kami akan didengar pada 23 Mac. Jika laporan akhir diserahkan, maka rayuan kami akan menjadi akademik.

Keputusan SPR untuk mengemukakan laporan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dibuat selepas kerajaan Selangor gagal dalam cubaannya untuk menghentikan siasatan tempatan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS