Seorang wanita maut ditikam 22 kali di seluruh badan oleh lelaki dipercayai kekasihnya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bukit Jelutong, Shah Alam kelmarin.

Mangsa, warga Indonesia 38 tahun itu ditikam di leher, tengkuk, belakang dan perut oleh suspek warga tempatan yang bekerja sebagai kontraktor pendawaian elektrik selepas dikatakan mengajak lelaki itu berkahwin, lapor Utusan Malaysia.

Ketua Polis Daerah Baharuddin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada pukul 8.25 malam, jiran mangsa ternampak mangsa terlentang di ruang tamu dengan berlumuran darah.

"Sejurus polis tiba di tempat kejadian, mangsa yang menyewa di pangsapuri itu telah meninggal dunia dengan beberapa kesan tikaman.

“Malah, kita juga menemukan pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.

"Hasil siasatan, dalam tempoh dua jam kita berjaya menahan suspek berusia 40 tahun di Seksyen 13.

“Buat masa ini, kita sedang menyiasat punca kejadian tetapi siasatan awal mendapati mangsa mendesak lelaki terbabit untuk mengahwininya.

"Malah, kita juga difahamkan suspek mempunyai masalah mental namun kita masih menunggu pengesahan laporan hospital," beliau dipetik sebagai berkata dalam sidang media di Shah Alam hari ini.