Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Harapan (HARAPAN) masih belum memutuskan logo tunggal yang bakal digunakan semua calonnya pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ia selepas tempoh seminggu yang ditetapkan bagi HARAPAN menentukan perkara itu, seperti yang dinyatakan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad 6 Mac lalu.

Namun Mahathir hari ini berkata mereka masih membincangkan perkara itu dan akan membuat pengumuman selepas ia diputuskan.

"Kami akan guna logo kami, kami ada empat parti dan perlukan satu logo saja," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di Parlimen.

Semua calon HARAPAN akan menggunakan logo salah satu parti komponennya selepas permohonan pendaftaran mereka pada Julai 2017 belum diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sehingga kini masih belum ada tanda ROS akan memberikan kelulusan di saat PRU ke-14 semakin hampir iaitu selewat-lewatnya Ogos ini.

Bekas perdana menteri itu sekali lagi mendakwa ROS tidak akan meluluskan pendaftaran HARAPAN walaupun mereka memenuhi segala kehendaknya.

"Ini kerana jika HARAPAN tidak diwujudkan sebagai (satu gabungan berdaftar), Najib akan menang.

"Inilah cara-cara Najib untuk menang. Senarai pengundi diubah dan dipinda agar tidak mencerminkan senarai asal, ubah persempadanan, tangkap calon tertentu agar tidak dapat bertanding dan tidak mendaftarkan HARAPAN serta mungkin membatalkan pendaftaran BERSATU," katanya lagi.

PRU paling kotor

Beliau merujuk amaran ROS minggu lalu bahawa notis pembubaran akan dikeluarkan terhadap parti itu jika gagal menjawab dan menyerahkan maklumat dan dokumen yang dikehendaki, termasuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat, dalam masa 30 hari berkuatkuasa 28 Februari lalu.

Akur dengan amaran itu, presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka akan mengemukakan semua dokumen mengikut masa yang ditetapkan.

Dengan segala cabaran yang dihadapi HARAPAN, Mahathir mendakwa PRU kali ini akan menjadi pilihan raya paling kotor dalam sejarah.

"Ini penipuan yang sedang dan akan berlaku. Pilihan raya kali ini tidak bersih sama sekali dan menjadi paling kotor dalam sejarah Malaysia, mungkin juga sejarah dunia.

"Tetapi kami akan teruskan dengan persiapan untuk menghadapinya dan sudah tentu kami ada pelan untuk menidakkan rancangan Najib ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS