Sekalipun DAP menyapu bersih semua kerusi yang ditandinginya di Selangor pada pilihan raya 2013, parti itu dijangka menghadapi kesukaran untuk mengulangi kejayaan mereka kali ini.

Ada di antara kerusi negeri, walaupun dimenangi dengan majoriti yang agak tinggi pada tahun 2013, kini dianggap sebagai "kawasan kelabu" - kerusi yang dianggap sukar tetapi mempunyai peluang untuk dimenangi.

Memandangkan ini, strategi DAP Selangor mungkin membabitkan pemindahan beberapa tokoh utama parti itu ke "kerusi kelabu" berkenaan.

Perbincangan kini berpusat mengenai kemungkinan memindahkan dua exco kerajaan negeri, Ean Yong Hian Wah dan Datuk Teng Chang Khim, masing-masing ke Kuala Kubu Bahru dan Sungai Pelek.

Menurut sumber parti, walaupun DAP memenangi kerusi Kuala Kubu Bahru dengan majoriti 1,702 undi pada tahun 2013, jumlah pengundi di kawasan itu telah meningkat sebanyak 26 peratus.

"Nampaknya sebahagian besar pengundi baru ini dipindahkan dari kubu BN di Batang Kali," kata sumber itu.

Bagi Sungai Pelek, pertandingan pelbagai penjuru yang akan melibatkan calon Pakatan Harapan, PAS dan BN - dijangka memberi kesan kepada DAP.

Ini kerana Sungai Pelek adalah antara kerusi majoriti Melayu yang akan ditanding oleh DAP dengan PAS dijangka mengambil sebahagian besar undi Melayu.

DAP memenangi semua empat kerusi parlimen dan 15 kerusi negeri yang ditandinginya di Selangor pada tahun 2013. Kuala Kubu Bahru dan Sungai Pelek disebut-sebut sebagai antara kerusi yang mampu dimenangi oleh MCA/BN pada pilihan raya kali ini.

“Selain daripada kedua-dua kerusi negeri ini, DAP Selangor juga melihat Sekinchan sebagai kerusi sukar," kata sumber itu, tetapi percaya Ng Suee Lim yang menjadi ADUN selama tiga penggal itu mampu mempertahankannya.

[Baca berita penuh]