BPR hanya siasat 10 peratus laporan rasuah
Terjemahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat tidak lebih daripada 10 peratus daripada laporan mengenai rasuah yang diterimanya sejak tahun 2000, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas hari ini.
Terjemahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat tidak lebih daripada 10 peratus daripada laporan mengenai rasuah yang diterimanya sejak tahun 2000, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas hari ini.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini, beliau berkata, sehingga Ogos tahun ini, BPR menerima 57,194 laporan dan daripada jumlah itu 5,568 disiasat.
"Sejumlah 2,197 tangkapan dibuat berhubung siasatan tersebut, manakala 954 orang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah," katanya.
Beliau menjelaskan, kadar peratusan rendah kes yang disiasat oleh BPR adalah disebabkan oleh kekurangan bukti, aduan palsu dan saksi enggan memberi keterangan.
Timbalan menteri itu menambah, BPR merancang untuk menambah kakitangannya sebanyak 600 lagi tahun depan, bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja.
Sementara itu, beliau juga menyalahkan majlis-majlis kerajaan tempatan yang menyumbangkan kepada kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dari tangga 37 kepada 39 tahun lalu.
Kayveas yang juga presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) terbabit dalam kontroversi baru-baru ini selepas beliau mendakwa majlis kerajaan tempatan dikendalikan seperti 'kongsi gelap'.
Beliau mendakwa, majlis tersebut berfungsi sebagai 'cop getah' dalam meluluskan projek, yang dilakukan 'di belakang pintu'.
Apabila kenyataannya dikritik hebat oleh ahli-ahli majlis berkenaan, Kayveas kemudiannya menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkannya ialah majlis kerajaan tempatan "dikendalikan secara gelap", dan bukan menyamakan mereka dengan "kongsi gelap".
Jawatankuasa integriti
Sebelum itu, ketika menjawab soalan Nasaruddin Hashim (BN-Parit) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Kayveas mengulangi keazaman kerajaan untuk membanteras rasuah.
Katanya, kerajaan telah melaksanakan strategi tiga mata dalam memerangi rasuah, termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kakitangan kerajaan yang menyeleweng.
Di samping itu, katanya, strategi itu juga membabitkan langkah memperkemaskan birokrasi kerajaan bagi mengurangkan peluang berlakunya rasuah atau salahguna kuasa.
Kayveas juga menegaskan bahawa sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk memantau etika ahli-ahli Parlimen kerajaan serta memperkenalkan Pelan Integriti Negara.
Katanya, komitmen kerajaan untuk meningkatkan integriti dan untuk mewujudkan masyarakat bebas rasuah, disokong oleh kelulusan kabinet untuk menubuhkan jawatankuasa terpilih parliamen mengenai integriti.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Bernard Giluk Dompok dan dianggotai 11 ahli Parlimen, termasuk dua wakil rakyat pembangkang./ Berita asal

