Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zam kemuka bukti ‘parti sendiri’ provokasi pembangkang
Diterbitkan:  Mar 23, 2018 12:01 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

Kenyataan kerajaan bahawa polis telah mengenal pasti individu dan organisasi yang berpotensi melakukan ‘serangan mengejut di saat akhir’ (SLMA) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tidak mengejutkan, kata kata bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin.

“Tak heranlah TPM telah mengenali pengacau pilihanraya kerana mereka terdiri dari orang partinya sendiri yg memprovokasi parti pembangkang dan majlis tempatan dengan meletakan poster kempen BN lebih awal termasuk di Putrajaya,” ciapnya di Twitter hari ini.

Bekas menteri penerangan itu yang lebih popular dengan panggilan Zam turut menyertakan sekeping foto yang memaparkan bendera BN dikibarkan sekitar Putrajaya.

Mengikut undang-undang, bendera mana-mana parti politik tidak boleh dikibarkan merata tempat sehingga Dewan Rakyat dibubarkan. Ia pula hanya dibenarkan semasa proses penamaan calon atau tempoh berkempen ditetatapkan.

Pada 20 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis mempunyai senarai individu dan organisasi tersebut serta isu-isu yang boleh dijadikan senjata untuk tujuan jahat itu.

Beliau yang juga adalah menteri dalam negeri berkata, tindakan pasti akan diambil jika ada mana-mana individu atau organisasi melancarkan SLMA.

Ahmad Zahid juga memberi amaran kepada semua parti politik supaya tidak melakukan provokasi terhadap pihak polis dengan membuat sebarang kekecohan di mana-mana lokasi pada pilihan raya umum nanti.

Turut memberi amaran sama adalah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau dilaporkan berkata Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sentiasa bekerjasama rapat dan berkongsi maklumat jika terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan ‘serangan mengejut di saat akhir’ pada PRU14.

Lihat Komen
ADS