NTP: Pencapaian jauh melepasi sasaran, kata kerajaan
Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan laporan tahunan untuk pelbagai pelan transformasinya dengan menonjolkan rekod pencapaian yang baik, tidak lama sebelum pilihan raya umum ke-14 tiba.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Perdana Menteri berkata Pelan Transformasi Negara (NTP) yang dimulakan pada 2010 telah mencatatkan pencapaian yang jauh melepasi sasaran.
Ia berkata, indeks prestasi utama bagi Tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah pada 111 peratus, 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pada 109 peratus, dan lima Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) pada 119 peratus.
Kenyataan itu tidak menjelaskan bagaimana peratusan itu dicapai.
Laporan tersebut menyatakan Pendapatan Negara Kasar (PNK) telah meningkat dan NTP berjaya mewujudkan 2,68 juta peluang pekerjaan, manakala pelaburan melepas sasaran RM1.4 trilion.
Kadar kemiskinan pula menurun daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 0.4 peratus pada 2016, dengan golongan berpendapatan rendah (B40) mencatatkan peningkatan tertinggi pendapatan isi rumah.
"secara keseluruhan, rakyat Malaysia menikmati peningkatan pendapatan isi rumah antara 2009 hingga 2016.
"min (mean) pendapatan isi rumah bulanan meningkat daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM6,958 pada 2016, mewakili kadar pertumbuhan tahunan 8.1 peratus," kata kenyataan itu.
Pencapaian lain termasuk:
- Penyiapan projek MRT Laluan 1 Sungai Buloh – Kajang (SBK) lebih awal daripada masa ditetapkan
- Pembinaan dan penambahbaikan jalan raya sepanjang 6,868km
- Pengagihan bayaran BR1M berjumlah RM6.31 bilion kepada 7.22 juta keluarga dan individu
- Pelulusan beberapa akta yang memberi manfaat kepada pekerja
- Peluang perniagaan bernilai RM122.2 bilion sejak 2011
Jabatan Perdana Menteri berkata pencapaian itu menunjukkan kerajaan berjaya menunaikan janjinya ketika NTP diperkenalkan pada 2009.
"Melangkah ke hadapan, kerajaan kekal komited untuk memacu negara ke arah matlamat transformasi.
"(Ini) akan diketuai oleh Unit Penyampaian Perkhidmatan Awam (CSDU) Jabatan Perdana Menteri, ke arah fasa pertumbuhan negara seterusnya melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.