Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang emel Najib minta penjelasan laporan PAC
Diterbitkan:  Mar 25, 2018 5:31 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Lim Kit Siang telah menghantar emel kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan perdana menteri laporan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) tidak menyatakan beliau mencuri wang 1MDB.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, emel itu bagi mengaturkan pertemuan antara beliau dan anggota PAC Tony Pua dengan Najib minggu depan.

Lim mahu Najib menunjukkan bahagian laporan PAC yang membersihkan namanya kepada beliau dan Pua.

"Dakwaan najib bahawa laporan PAC membersihkannya daripada kesalahan adalah palsu dan tak berasas, ini contoh terbaru 'berita palsu' yang direka mereka yang berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim juga berkata beliau bersangka baik bahawa Najib mungkin tertukar laporan PAC dengan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang kini menjadi dokumen rahsia.

"Jika begitu, saya sedia menerima kesilapan itu asalkan beliau menunjukkan bahagian mana dalam laporan Ketua Audit Negara (yang membersihkannya) kepada saya," katanya yang juga anggota parlimen Gelang Patah.

Lim juga bertanya sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis akan menyiasat Najib kerana membuat berita palsu jika beliau enggan menarik semula kenyataan "palsu dan tidak berasasnya" berhubung laporan PAC.

"Apatah lagi pagi tadi sempena Hari Polis, Najib menafikan Polis Diraja Malaysia sebagai pak turut kerajaan.

"Adakah kita akan melihat polis bertindak terhadap Najib kerana menyebarkan berita palsu...atau polis dan Ketua Polis Negara akan kekal membisu?" soalnya lagi.

Jika Najib gagal memberi respons terhadap emelnya, Lim berkata beliau akan meneruskan rancangan untuk mengadakan forum di seluruh negara berhubung sama ada laporan PAC telah membersihkan beliau daripada kesalahan.

"Kita mengalu-alukan Najib untuk datang ke forum itu nanti, atau menghantar wakil," katanya lagi.

Beliau berkata forum tersebut mungkin dimulakan dalam masa seminggu memandangkan betapa pentingnya perkara itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS