Paling Popular
Terkini

Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung rakaman audio dikaitkan dengan salah seorang pemimpin kanan PAS yang mendakwa dia mempunyai akses langsung dengan ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata dakwaan yang terkandung dalam rakaman audio itu - jika benar - boleh membawa implikasi serius kepada keselamatan negara.

"Ia dibimbingan membuktikan wujud unsur pengkhianatan terhadap kedaulatan negara.

"AMANAH minta ia disiasat. Kalau suara itu terbukti milik Nik Abduh, ia adalah pengakuan yang amat serius oleh anggota jawatankuasa tinggi PAS," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Isu rakaman audio yang didakwa melibatkan penjelasan Nik Abduh Nik Abdul Aziz itu mula tersebar di media sosial pada akhir Feb lalu.

Bagaimanapun rakaman keseluruhan audio itu hanya didedahkan di Facebook sebulan kemudian.

Antara petikan rakaman audio itu ialah: "Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA. CIA Amerika tu ana kenal orang dia yang sentiasa berhubung dengan ana."

Biasanya melalui kerajaan

Bagaimanapun Nik Abduh sudah membuat penafian mengenainya sehari kemudian. Menurut anggota parlimen Pasir Mas tuduhan itu "karut, mengarut dan fitnah" terhadap dirinya serta PAS.

"Ia hanya sampah yang tak layak dimakan kecuali pelahap fitnah seperti PAN (Parti Amanah Negara) dan sekutunya. Saya menafikan sekeras-kerasnya," kata Nik Abduh pada 28 Feb lalu.

Salah seorang pemimpin ulama PAS juga menegaskan rakaman audio itu bukan milik Nik Abduh.

Kata Datuk Dr Khairuddin Aman Razali ada ramai orang yang boleh meniru suara individu lain, termasuk menyerupai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bapa Nik Abduh, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malaysiakini hari ini juga melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun sebagai berkata pihaknya tiada butiran berkaitan rakaman audio berkenaan.

Menurut Raja Bahrin kebiasaannya agensi kerajaan asing - seperti CIA - hanya akan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa negara.

Namun katanya pengakuan terkandung dalam rakaman audio itu mencetuskan tanda tanya jika kerjasama itu turut melibatkan parti tertentu dalam kerajaan Malaysia.


Baca Husam: Pakar London siasat suara 'ambil duit Umno'


"PAS sendiri pernah kata mereka tidak pernah merestui campur tangan luar dalam apa isu sekali pun," katanya.

Raja Kamarul Bahrin berkata, dalam rakaman audio itu juga ada disebut mengenai pengambilan wang daripada Umno dan ia sekali gus kemungkinan merujuk kepada hubungan CIA dan PAS melalui Umno.

"Mungkinkah mereka ada hubungan dengan CIA kebelakangan ini sejak ada kerjasama dengan Umno?

"Ini satu lagi kemungkinan yang lebih teruk! Jika ia berlaku, kenapa Umno perlu kerjasama dengan CIA, dan PAS pula merestuinya?" katanya.

Namun anggota parlimen Kuala Terengganu itu yakin jika maklumat terkandung dalam rakaman audio itu sahih, hubungan CIA dengan PAS tidak berlaku secara langsung.

"Adakah ini secara kebetulan atau terancang?" katanya.

Lihat Komen
ADS