Sejak negara mencapai kemerdekaan enam dekad lalu, Parti Perikatan (Kini Barisan Nasional) memperoleh majoriti dua pertiga di parlimen dalam 11 kali pilihan raya umum.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) 2008, buat pertama kalinya gabungan parti pemerintah itu memperoleh keputusan paling buruk apabila hilang majoriti dua pertiga di parlimen dan tewas di beberapa negeri.

Empat tahun kemudian, BN sekali lagi gagal mendominasi Dewan Rakyat dan turut kalah dari segi bilangan undi popular.

Menjelang PRU14, pemimpin Umno, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata beliau percaya tiada lagi gabungan parti boleh berkuasa dengan majoriti dua pertiga.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Nazri berkata ini kerana undi Melayu berpecah tidak seperti di masa lalu.

Selain Umno, PAS dan PKR, undi Melayu kini terbahagi dengan penubuhan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu kini meletakkan BERSATU sebagai alternatif untuk menggantikan Umno.

Seperti pemimpin Umno lain, Nazri, yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan menolak dakwaan bahawa pilihan raya akan datang akan menyaksikan tsunami Melayu memihak kepada Pakatan Harapan.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai pembohongan DAP.

Mengenai isu persempadanan semula pula, Nazri menafikan peralihan pengundi akan menguntungkan Umno dengan merujuk kawasan di parlimen Lembah Pantai sebagai contoh.

Beliau berkata walaupun Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dipindahkan ke kawasan Lembah Pantai, tidak semua anggota polis menyokong BN dan ada bekas pegawai polis juga dilihat tidak menyokong Umno.

"Peralihan pengundi Melayu akan untungkan Umno? PAS, AMANAH dan PKR juga untuk orang Melayu. Jadi betulkah akan untungkan Umno?

"Orang Melayu terbahagi kepada empat hingga lima parti! Inilah hujah yang bodoh, kita tidak boleh lihat ke dalam hati orang lain (mengenai siapa yang akan mereka undi)," katanya.