SPRM mendapati tiada unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam perjanjian pemindahan tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim.

"Sebaliknya, perkara itu lebih menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan tertakluk di bawah siasatan PDRM (polis)," katanya dalam jawapan bertulis parlimen minggu lalu.

Razali menjawap soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) yang menyoal sama ada SPRM akan memanggil dan menahan para pengarah Felda dan pemaju swasta Synergy Promenade Sdn Bhd, seperti yang mereka lakukan dalam siasatan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang.

Beliau berkata kes itu masih di bawah siasatan polis, manakala Felda akan menjalankan siasatan dalam melalui satu jawatankuasa yang ditubuhkan pada bulan lalu.

Pada Disember tahun lalu, akhbar Berita Harian melaporkan bahawa Felda berisiko kehilangan pemilikan tanahnya di Jalan Semarak di ibu negara yang bernilai RM200 juta disebabkan pemindahan pemilikan melalui "transaksi yang meragukan" pada 2015.

Akhbar itu memetik seorang penilai bebas yang menganggarkan bahawa tanah berkenaan kini bernilai kira-kira RM1 bilion.

Tanah Jalan Semarak sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), yang melibatkan tujuh menara - termasuk "Menara Felda," yang dikenali sebagai KLVC Tower1A, sebuah struktur 68 tingkat yang terdiri daripada 59 tingkat ruang pejabat dan sebuah helipad.

[Baca berita penuh]