Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak adil terlalu cepat sebar kebencian, kata Shabery

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berharap tiada pihak yang terlalu cepat membuat kesimpulan berhubung isu seorang ketua bahagian Umno di Kuala Lumpur yang ditangkap dan didapati positif dadah.

Ketika wartawan bertanyakan beliau jika tangkapan tersebut merupakan sabotaj terhadap Umno, Shabery tidak menolak kebarangkalian ia berlaku.

“Kemungkinan semua itu berlaku ada kerana terdapat keganjilan seperti ini (tangkapan ketua bahagian Umno).

“Bagaimanapun saya tak ada di situ, tak ada latar belakang (cerita sebenar).

"Cumanya saya harap tak ada pihak yang buat kesimpulan terlalu cepat dengan menyebar kebencian terhadap seseorang kerana ia jelas tak berlaku adil,” kata beliau ketika ditemui pemberita di ibu negara, semalam.

Menjawab soalan wartawan jika isu tersebut akan dijadikan bahan kempen pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke 14, anggota parlimen Kemaman itu berkata pihak lawannya juga tidak terlepas dengan pelbagai kes salah laku dan sehingga kini masih ada yang menjadi kes mahkamah.

“Itu hanya satu bahan (kempen) yang akan digunakan tetapi akhirnya proses (perundangan sendiri) akan membuktikan seseorang itu bersalah atau tidak dan ianya haruslah mengikut kaedah-kaedah perundangan sedia ada.

"Kita sendiri tidak boleh buat apa-apa keputusan,” kata beliau.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga berkata kepimpinan Umno sentiasa mengingatkan semua pihak yang terlibat agar menjaga segala perilaku sebagai pemimpin.

“Kita tak boleh lihat isu yang melibatkan seorang individu sebagai isu keseluruhan parti atau pun organisasi.

Matlamat Umno, bukan isu individu

“Setiap hari itu (amaran pemimpin Umno jaga adab) adalah merupakan peringatan kepada semua pihak, kemungkinan-kemungkinan ianya dilihat boleh memberikan kesan pada parti keseluruhannya, bukan sahaja pada waktu sekarang tetapi pada bila-bila masa sahaja dan ia merupakan tanggungjawab bagi kita semua dalam soal ini (jaga adab sebagai pemimpin).

“Organisasi itu penting, matlamat Umno itu penting dan bukan isu individu,” kata beliau.

Kelmarin, polis mengesahkan seorang ketua bahagian Umno di Kuala Lumpur ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di ibu negara.

Lelaki, yang namanya tidak disiarkan oleh Malaysiakini sementara mendapatkan ulasannya itu, didapati positif amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah berkata, dalam serbuan itu, pemimpin terbabit bersama sekumpulan rakannya turut ditahan atas kesalahan yang sama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula beranggapan apa yang terjadi sebagai sesuatu yang malang.

Menurut Naib Presiden (dengan tugas Timbalan Presiden) Umno itu semalam, suatu mesyuarat bersama Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak akan diadakan bagi membincangan kes pemimpin bahagian parti tersebut.

Manakala itu, sebuah perkumpulan Gabungan Pemimpin Akar Umbi Umno menyatakan rasa kesal dan kecewa terhadap ketua bahagian Umno itu dengan menghantar memorandum ke ibu pejabat parti itu di PWTC

Ketua Cawangan Umno Tasik Jaya Bandar, Mejar (B) Razali Zakaria (gambar, kanan) berkata tindakan tegas termasuk memecat keahlian pemimpin parti itu perlu diambil segera demi maruah parti Melayu itu.

Ketua Penerangan Umno Pusat Bandar, Syed Rosli Syed Harman (gambar, kiri) pula berkata apa yang berlaku kepada Umno hari ini merupakan malapetaka dan harus segera dibersihkan.

“Bagaimana Umno nak tonjolkan kepada masyarakat, Umno parti yang boleh dijadikan contoh kalau pemimpinnya ambil syabu dan dadah," soal Syed Rosli.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan ikut terlibat dalam operasi serbuan berkenaan, lapor media tempatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, dipetik FMT sebagai berkata ketua bahagian Umno bergelar 'Datuk' itu ditahan dalam satu operasi polis bersama SPRM di sebuah pusat karaoke di Jalan Imbi, kira-kira jam 2 pagi pada Isnin lalu.

“Ada seorang ahli politik yang berpangkat Datuk, saya tak nak sebut nama, yang merupakan ketua bahagian Umno di Kuala Lumpur, ditangkap dalam satu operasi bersama SPRM dan polis baru-baru ini," kata Azam.

Lihat Komen
ADS