Jabatan Negara Amerika Syarikat memandang berat rang undang-undang (RUU) yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia yang memperuntukkan tempoh penjara sehingga enam tahun kerana menyebarkan "berita palsu" - satu ungkapan yang sering digunakan oleh Presiden AS Donald Trump.

Kerajaan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak memperolehi majoriti mudah di parlimen pada hari Isnin untuk meluluskan RUU itu yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 dan tempoh penjara maksimum selama enam tahun.

Amerika Syarikat memandang berat "potensi impak RUU itu terhadap kebebasan bersuara di Malaysia, serta jangkauan globalnya, yang boleh memberi impak kepada rakyat dan syarikat AS," kata jurucakap Jabatan Negara dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu mendakwa bahawa langkah itu "pantas melalui Parlimen tanpa perundingan dan perbahasan awam yang bermakna," dan menggesa kerajaan Malaysia untuk berunding dengan komuniti perniagaan dan masyarakat sivil sebelum mengambil tindakan lanjut mengenai RUU itu.

Di Malaysia, sesuatu RUU memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agung selepas diluluskan oleh Parlimen, tetapi ini secara umumnya dilihat sebagai satu formaliti.

"Kami menggesa Kerajaan Malaysia memastikan semua undang-undangnya, yang ada dan pada masa depan, menghormati kebebasan bersuara," kata jurucakap Jabatan Negara.

Trump sering menggunakan istilah berita palsu untuk mengutuk laporan berita atau organisasi yang dipertikaikannya atau yang kritikal terhadapnya. .

Malaysia, di mana pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa, adalah antara negara pertama yang memperkenalkan undang-undang sedemikian.

Negara-negara Asia Tenggara lain, termasuk Singapura dan Filipina, sedang mempertimbangkan bagaimana menangani berita palsu.

Aktivis hak bimbang undang-undang antiberita palsu boleh digunakan untuk menyekat ucapan bebas.

India tarik balik 

Pada hari Selasa, Perdana Menteri India Narendra Modi mengarahkan penarikan balik peraturan yang menghukum wartawan yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu, tanpa menyatakan alasan bagi perubahan itu - kurang dari 24 jam selepas pengumuman asal dibuat.

Langkah itu berikutan bantahan oleh wartawan dan ahli politik pembangkang.[Baca berita penuh]

- Reuters