PRU14 | Mengakhir berbulan-bulan spekulasi, PKR akhirnya mengumumkan bahawa parti itu akan menurunkan pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, ia tidak mengesahkan sama ada Fahmi akan menggantikan Nurul Izzah Anwar bertanding di kawasan Parlimen Lembah Pantai, seperti yang dispekulasikan selama ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membuat pengumuman itu di majlis untuk mengumumkan fasa pertama calon muda parti itu malam tadi.

Selain Fahmi, beliau turut mengumumkan tiga calon lain, tetapi juga tidak dinyatakan di mana mereka akan bertanding.

Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Wan Azizah berkata pengumuman selanjutnya mengenai kawasan pilihan raya mereka akan dibuat selepas Parlimen dibubarkan, yang mungkin Jumaat ini.

"Memang kita ada lah tapi kita belum lagi muktamadkan, dalam perundingan...

"... jadi kita rasa maklumat ini masih belum dapat dinyatakan," katanya di pusat khidmat parti itu di Setiawangsa di ibunegara, sambil menambah bahawa lebih ramai nama calon muda dalam pengumuman berikutnya.

Calon-calon muda ini, tambah Wan Azizah, adalah untuk menunjukkan bahawa pembangkang tidak mengetepikan bakat-bakat muda seperti yang dikatakan oleh pengkritik.

"Kita diserang bahawa pemimpin kita tua-tua belaka, jadi kita nak tunjukkan bahawa kita ada pimpinan muda dan juga pelapis yang mewarisi perjuangan kita," tambah Wan Azizah.

Komen mengenai umur pemimpin Pakatan Harapan sebahagiannya besarnya menyasarkan pengerusinya, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 93 tahun.

Spekulasi mengenai Fahmi yang berusia 37 tahun itu bermula selepas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lembah Pantai itu dilihat mengadakan banyak program di kawasan itu, tanpa Nurul Izzah.Nurul Izzah diuar-uarkan akan berpindah ke Pandan, di mana penyandangnya, Rafizi Ramli mungkin tidak akan bertanding dalam PRU14 kerana berdepan dengan beberapa kes mahkamah yang belum selesai.

Spekulasi itu berlaku ekoran kemasukan ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman - dengan hampir 7,000 pengundi di kalangan anggota polis - ke dalam Lembah Pantai selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya baru-baru ini.

Tiga calon lain

Tiga calon lain yang diumumkan pada malam tadi ialah ketua AMK pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua AMK Sabah Raymond Ahuar dan Timbalan Ketua AMK Perak Sandrea Ng Shy Ching.

Nik Nazmi, 36, kini merupakan ADUN Seri Setia, dan dijangka akan diletakkan di kerusi Parlimen Setiawangsa.

Raymond, 33, sebelum ini bertanding di kerusi DUN Nabawan di Sabah dan kalah tipis dengan 342-undi.

Sumber-sumber dalaman memberitahu Malaysiakini bahawa Ng, 37, mungkin bertanding di kerusi DUN Teja, memandangkan penyandangnya, Chang Lih Kang mungkin berpindah ke kerusi Parlimen Tanjung Malim.

PRU14 akan merupakan penyertaan kali pertama Fahmi dan Ng dalam pilihan raya.

[Baca berita penuh]