‘Benarkan Dr Mahathir jumpa anggota tentera’
Ketua Pemuda HARAPAN Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mencabar pihak Angkatan Tentera Malaysia supaya membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad berjumpa dengan anggota tentera dalam satu himpunan di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.
Katanya, pertemuan itu supaya pengerusi HARAPAN itu boleh menerangkan tawaran mereka kepada tentera menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
“Untuk berlaku adil, pihak Angkatan Tentera patut membenarkan Dr Mahathir bertemu dengan anggota tentera dalam satu himpunan di MINDEF untuk menerangkan tawaran Pakatan Harapan untuk tentera,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 31 Mac lalu yang
menyeru pihak anggota tentera supaya memilih kerajaan yang stabil.
Pada majlis sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor turut menggesa anggota tentera dan polis setia kepada kerajaan pimpinan Najib.
“Kesetiaan pihak beruniform adalah kepada Seri Paduka Baginda Yang d-Pertuan Agong, bukan ahli politik.
“Mendokong dasar-dasar serta arahan kerajaan yang memerintah bukan bererti menyokong parti pemerintah membuta tuli, tetapi mendokong aspirasi rakyat yang memilih menerusi sistem demokrasi.
“Tentera itu datang dari rakyat, mendokong kerajaan pilihan rakyat dan taat setia kepada Raja Berperlembagaan,” katanya.
Justeru, menurut Nik Nazmi, kenyataan menyeru kesetiaan kepada Najib adalah janggal kerana sepatutnya, Raja Mohamed Affandi menggesa pasukan keselamatan mengulangi ikrar setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Bertemu dengan veteran dan anggota tentera, terlalu ramai mengadu tentang dasar luar negara hari ini yang tunduk kepada agenda negara asing.
Bandingkan dahulu meskipun kita negara kecil, kita dihormati kerana pandangan tegas soal Afrika Selatan, Palestin dan Bosnia.
“Mereka juga mengadu tentang keadaan kelengkapan tentera. Adakah ini cara kita melayan perajurit-perajurit negara?” soalnya lagi.

