Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah: Bertarunglah macam pendekar, Najib
Diterbitkan:  Apr 5, 2018 4:58 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Keji - itu perkataan yang digunakan Tan Sri Rafidah Aziz untuk menggambarkan perasaannya terhadap tindakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini.

BERSATU ialah parti yang diasaskan dan diketuai bekas bos Rafidah, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas menteri kanan itu juga berkata beliau tertanya-tanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terlalu takut kepada Dr Mahathir sehingga mengambil segala langkah yang boleh untuk menekan parti berkenaan.

"Apa yang sudah terjadi kepada keadilan, keterbukaan dan demokrasi di negara ini?" katanya kepada Malaysiakini sambil menambah langkah diambil kerajaan adalah tidak bertanggungjawab serta menjadi cubaan untuk BERSATU bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Awal petang ini ROS mengumumkan mereka membubarkan sementara BERSATU mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan. Arahan itu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim berkata pembubaran itu akan kekal jika BERSATU gagal mematuhi kehendak mereka dalam tempoh 30 hari.

Kata Surayati BERSATU juga boleh memfailkan rayuan dalam tempoh berkenaan.

"Saya nyatakan di sini bahawa PPBM (BERSATU) gagal menyerahkan sepenuhnya segala butiran, maklumat dan dokumen yang diminta sebagai mana notis di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Rafidah yang pernah menjadi ketua Wanita Umno selama sedekad berkata langkah yang diambil ROS itu boleh dianggap sebagai "gila dan menjijikkan".

"Bertanding dan bertarunglah seperti seorang pendekar," katanya.

Kenyataan itu jelas ditujukan kepada Najib yang beberapa hari lalu memberi amaran kepada musuhnya supaya tidak menimbulkan kemarahan pahlawan Bugis.

Najib, yang berketurunan Bugis, berkata demikian semasa berucap di majlis Himpunan Raksasa Guru-guru Silat 2018, di Gombak pada 2 April lalu.

“Jangan main-main dengan pendekar Bugis.

“Siapa yang nak mencarik-carik maruah orang Bugis, tunggu balasannya nanti," katanya.


Baca Bukan semua penjawat awam tali barut Umno


Menurut Rafidah beliau yakin rakyat tidak dapat menerima pembubaran BERSATU itu dan mereka berhak untuk berasa sedemikian.

Langkah terbaru itu, katanya, hadir ketika beberapa tindakan kerajaan dipersoalkan, seperti kelulusan Akta Antiberita Tidak Benar dan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

"Tadbir urus negara seperti itu tidak memiliki panduan moral.

"Demokrasi dalam keadaan nazak di Malaysia. Ia akan dikebumikan oleh dan dengan Najib dan sekutunya," kata Rafidah.

Lihat Komen
ADS