Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman memberi jaminan bahawa kebimbangan Jabatan Negara AS terhadap kebebasan bersuara di negara ini tidak tersekat dengan adanya Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Katanya, hal berkenaan sudah ditegaskan oleh beliau berkali-kali sebelum ini, dan rang undang-undang (RUU) mengenainya digubal serta diluluskan mengikut perlembagaan Malaysia.

Selain itu katanya hak menentukan sesuatu perkara itu adalah berita palsu atau tidak, hanya akan diputuskan mahkamah.

“Saya dah cakap di Dewan Rakyat, Dewan Negara, (keluar dalam) surat khabar, saya dah cakap bahawa yang membuat penentuan (sesuatu berita itu palsu atau benar ialah) mahkamah, bukan menteri dan bukan agensi kerajaan.

“Justeru, macam mana ia boleh menyekat kebebasan bersuara kalau prosesnya perlu melalui mahkamah?

"Maknanya kena ikut proses undang-undang, tak ada sistem kuku besi,” katanya kepada pemberita di parlimen, hari ini.

Azalina berkata demikian mengulas kekhuatiran Jabatan Negara AS bahawa Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang telah diluluskan di parlimen Isnin lalu boleh mengurangkan kebebasan nersuara di negara ini.

"Kami menggesa kerajaan Malaysia memastikan semua undang-undangnya - yang sedia ada dan pada masa depan - menghormati kebebasan bersuara," kata jurucakap Jabatan Negara AS.

Mengapa perlu takut

Sementara itu Azalina yang juga anggota parlimen Pengerang berkata tidak ada sebab pembangkang - kecuali PAS - perlu takut kepada akta berkenaan.

Katanya ketika sesi perbahasan mengenai RUU Antiberita Tidak Benar itu pembangkang sering mengeluarkan pelbagai tuduhan kepada kerajaan.

“Banyak suara sumbang pembangkang kedengaran, kita (kerajaan) dah terangkan pun dia nak bahas lagi," katanya.

Namun Azalina berkata langkah itu mungkin disengajakan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana mereka mahu "mengelirukan rakyat".

“Mungkin strategi mereka nak kelirukan rakyat.

"Bagi saya fake news (berita palsu) adalah bad news (khabar yang tidak diperlukan). Kalau kita tak (buat) salah apa nak takut?” katanya.

Isnin lalu Dewan Rakyat meluluskan RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dengan 123 undi menyokong dan 64 undi menentang.

Daripada 123 undi yang menyokong itu, 11 disumbangkan oleh anggota parlimen PAS selain satu lagi undi daripada Tan Sri Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak).

RUU Antiberita Tidak Benar itu mencadangkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, bagi pihak yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.

Ramai pengkritik dan peguam melihat peruntukan di bawah RUU itu terlalu luas dan menyediakan hukuman berat selain terbuka untuk salah guna kuasa kerajaan.

Ia juga diluluskan ketika negara berada di ambang pilihan raya dan kerajaan Datuk Seri Najib Razak berdepan dengan pelbagai kritikan, termasuk skandal 1MDB.