PRU14 l Sebuah badan pemikir Selangor menjangkakan adalah sukar buat BN untuk merampas semula negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 yang akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Redzuan Othman turut menjangkakan adalah sukar buat PAS untuk mengekalkan walau satu pun kerusi di Selangor.

Katanya, hasil kajiannya mendapati bahawa lebih ramai pengundi Melayu dari kawasan bandar dan separa bandar akan mengundi HARAPAN pada PRU14.

"Kami dapati di Selangor, malah dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya, lebih ramai orang Melayu di bandar dan separa bandar yang berkata mereka akan menyokong HARAPAN.

"Dalam senario ini, sukar bagi BN mengambil alih Selangor," katanya ketika menyampaikan keputusan kajiannya "Tinjauan Malaysia 2018" yang menemu-bual 4,920 responden di seluruh negara dari 23 Mac hingga 26 Mac.

Keputusan bagi Selangor, bagaimanapun, berdasarkan tinjauan awal seluruh negara membabitkan 3,277 responden dari semua 56 kerusi negeri.

Khususnya, Redzuan berkata tinjauan itu mendapati bahawa 39 peratus responden Melayu di daerah pengundian bandar akan memberikan sokongan mereka kepada HARAPAN, berbanding 34 peratus kepada BN, 22 peratus kepada PAS dan lima peratus lagi masih belum membuat keputusan.

Di daerah pengundian separa bandar, kaji selidik IDE mendapati bahawa 41 peratus responden Melayu berkata mereka akan menyokong HARAPAN, berbanding dengan 33 peratus untuk BN, 21 peratus untuk PAS dan empat peratus yang belum membuat keputusan.

"Ambil contoh kerusi DUN Ijok, Pekan Ijok dianggap sebagai daerah pengundian bandar sementara kawasan berhampiran sawah padi sekitar dianggap sebagai separa bandar," kata Redzuan.

Tidak seperti daerah pengundian di bandar dan separa bandar, keputusan tinjauan untuk daerah pengundian luar bandar menunjukkan bahawa 61 peratus pengundi Melayu akan mengundi BN, 22 peratus untuk HARAPAN, 17 peratus untuk PAS dan tidak ada yang belum membuat keputusan.

[Baca berita penuh]