PRU14 | Pengaruh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor tidak memadai untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) menguasai negeri itu, kata sebuah pertubuhan pemikir Selangor hari ini.

Berdasarkan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) populariti Muhyiddin gagal bersaing dengan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pegawai Eksekutif IDE Prof Dr Redzuan Othman berkata pengaruh Dr Mahathir boleh menjatuhkan BN di Kedah namun hal yang sama tidak ada pada Muhyiddin.

"Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih dilihat sebagai parti Dr Mahathir," katanya kepada media selepas membentangkan keputusan kajian IDE di Shah Alam hari ini.

Kajian dilakukan antara 23 hingga 26 Mac itu melibatkan seramai 4,920 responden.

Johor menjadi salah satu negeri yang dianggap HARAPAN berpotensi dikuasai mereka daripada BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Untuk rekod sebelum menjadi timbalan perdana menteri Muhyiddin pernah dilantik sebagai menteri besar Johor mulai Ogos 1986 sebelum diletakkan untuk bertanding kerusi parlimen pada PRU kesembilan (1995).

Redzuan berkata beberapa hari selepas Muhyiddin dipecat daripada Umno, tokoh terbabit dilihat kurang berkarisma berbanding Dr Mahathir.

Sementara itu semasa membuat pembentangan Redzuan bagaimanapun tidak memberi butiran terperinci untuk dapatan mengenai Johor atau Kedah walaupun beliau meramalkan negeri di utara itu akan tumbang ke tangan HARAPAN.

Katanya berdasarkan kaji selidik IDE puncak sokongan rakyat kepada BN berada di tahan 42 peratus dan berbeza dengan keadaan pada Ogos tahun lalu.

Sebaliknya menurut Redzuan sokongan yang dinikmati HARAPAN meningkat daripada 33 peratus kepada 41 peratus, manakala dukungan diperolehi PAS menurun kepada 13 peratus daripada 18 peratus.

"Peratusan pengundi atas pagar juga menurun daripada tujuh peratus menjadi empat peratus," katanya.

Selain Kedah IDE juga menjangkakan HARAPAN berpeluang menguasai dua negeri lain - Melaka dan Negeri Sembilan.

Pada masa sama kajian IDE menunjukkan Pulau Pinang serta Selangor selamat di tangan HARAPAN, berbanding peluang 50-50 untuk PAS mengekalkan Kelantan.

Katanya faktor penentu terletak di tangan pengundi yang bermastautin di luar.

"PAS ada peluang tapi BN semakin dekat untuk menang," katanya sambil menambah PAS akan terlepas Kelantan jika berlaku perubahan sokongan pengundi hanya sebanyak lima peratus.

[Baca berita asal]