Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir: Kenapa tak ambil Cina tempatan bina ECRL?

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertikaikan langkah kerajaan tidak mengambil Cina tempatan untuk bekerja dalam projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Kata pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu jika bahasa menjadi masalah sehingga warga China dibawa bekerja di negara ini, ada cara lain boleh diambil.

"Kita ada ramai orang Cina di Malaysia, mereka boleh berbahasa Mandarin.

"Kalau anda tidak mengambil mereka sebagai buruh kasar, sekurang-kurangnya boleh diambil sebagai jurutera dan sebagainya.

"Jangan bagi alasan begitu (ada masalah bahasa) lalu disebabkan itu mereka bawa pekerja dari China," katanya dalam satu majlis forum di Petaling Jaya petang tadi.

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu mengulas jawatan bertulis di Dewan Rakyat minggu lalu, berhubung permohonan syarikat yang menyiapkan ECRL mahu membawa warga China bagi menyiapkan projek berkenaan.

Dalam jawapan itu Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata permohonan itu dikemukan kepada Putrajaya.

"Pihak ECRL telah memohon pengambilan pekerja asing dari negara China kerana peralatan, jentera dan mesin yang digunakan merupakan teknologi negara China dengan sistem pengoperasian dan manual penggunaan dalam bahasa Mandarin.

"Pertimbangan permohonan pengambilan pekerja asing untuk sektor-sektor yang dibenarkan adalah berdasarkan kepada keperluan sebenar majikan serta syarat-syarat dan nisbah kelayakan yang telah ditetapkan oleh agensi kawal selia masing-masing," kata Zahid pada jawapan bertarikh 29 Mac lalu.

Pemilik projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) hari ini menjelaskan hanya 30 peratus daripada pekerja mereka adalah warga asing.

Kontraktor utama untuk projek berkenaan ialah China Communications Construction Company (CCCC).

Sementara itu Dr Mahathir berkata jika HARAPAN membentuk kerajaan selepas PRU ke-14 nanti kerajaan akan merundingkan semula projek ECRL berkenaan.

Antara lain katanya kerajaan akan cuba mengehadkan projek terbabit kepada jarak tertentu dan akan melengkapkannya jika ia benar-benar mendapat permintaan tinggi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS