Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSATU dibubar, tapi semangat tawan Putrajaya makin berkobar

Pendaftar Pertubuhan (ROS) mungkin telah membubarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) buat sementara, tetapi semangat ahli-ahlinya terus berkobar.

Lebih 70 anggota BERSATU hadir di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya malam tadi, di mana majlis tertinggi parti itu mengadakan mesyuarat khas dan sidang akhbar selepas itu.

Para penyokong membawa bunga plastik merah yang menjadi logo parti mereka - bunga raya merah.

Semasa menunggu kepimpinan BERSATU tiba di sidang akhbar itu, satu kumpulan memegang sepanduk berbunyi "Najib bacul" dan melaungnya di luar galeri ibu pejabat itu.

Ramai ahli juga bergilir-gilir bergambar bersama sepanduk itu.

Kepimpinan tertinggi termasuk pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba sekitar pukul 11 ​​malam.

Mereka disambut oleh orang ramai yang penuh bersemangat, yang mula menyanyikan lagu lagu "Perjuangan Kita"

Para pemimpin tiba di lokasi sidang akhbar dengan orang ramai melaungkan "Hidup Tun" beberapa kali.

Seorang anggota Srikandi BERSATU Shah Alam, Mastura Darby, 54, berkata beliau datang untuk menunjukkan sokongannya kepada pemimpin mereka, terutamanya Dr Mahathir.

"Pembubaran ini, apa yang telah berlaku, adalah satu tragedi. Sudah tentu kita sedih," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, beliau berkata mungkin ada hikmahnya dan beliau tetap yakin kepimpinan tertinggi mempunyai rancangan untuk menangani halangan ini.

Bagi Shahrul Amin, 46, anggota BERSATU dari Shah Alam, ini didakwanya satu bentuk "penindasan" oleh ROS.

"BERSATU sudah mematuhi apa yang ROS mahu, tetapi mungkin mereka mempunyai kuasa, jadi apa yang kita boleh buat?" katanya.

Namun begitu, katanya, dia tetap menyokong Dr Mahathir.

Tambahnya, dengan atau tanpa BERSATU, dia tetap akan menyokong Pakatan Harapan dengan matlamat mereka untuk mengambil alih Putrajaya.

"Tidak kira apa, Putrajaya adalah matlamat kita, Pakatan Harapan kekal di dalam hati kami," katanya.

Walaupun pembubaran sementara BERSATU, Abdul Hannaan Khairy, 25, dari Perlis, berkata ia tidak menjejaskan semangat juangnya untuk berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.

"Saya yakin, kawan-kawan dan akar umbi BERSATU dari Perlis, mereka sangat bersemangat.

"Malah, (pembubaran) ini telah membuat lebih ramai marah terhadap kepimpinan Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

"Kami akan berjuang dan memastikan kita menang pilihan raya kali ini," katanya.

Semalam kelmarin, ROS mengumumkan perintah pembubaran sementara Bersatu di bawah Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan.

Bagaimanapun, kata Mahathir dalam sidang akhbar malam tadi, berkata mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan ROS itu, kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan jika gagal, ia akan menggunakan saluran undang-undang.

Sementara itu, parti itu akan berfungsi seperti biasa, katanya, dan mendakwa hanya pembatalan penuh boleh memaksa parti itu menghentikan semua kegiatannya.

"Tiada peruntukan bagi mereka (ROS) menutup pejabat kami atau apa sahaja, ketika kami hanya dibubarkan sementara.

"Apabila mereka membatalkan pendaftaran kami, maka ya, tetapi bukan sekarang," katanya.

"Jika mereka mahu menyoal kami, kami ada beberapa peguam," tambahnya sambil berkata beliau ingin menjemput ROS datang ke pejabat parti itu bertemu dengan peguamnya.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS