'WARISAN hanya kerjasama dengan parti relevan di Sabah'
PRU14 | Parti Warisan Sabah hanya berminat untuk bekerjasama dengan parti-parti yang relevan di negeri itu, kata naib presidennya, Junz Wong.
Ini selepas persoalan dibangkitkan mengenai pakatan pembangkang di Sabah yang diketuai oleh WARISAN, yang tidak termasuk parti komponen Pakatan Harapan - AMANAH.
Bagaimanapun, Wong menegaskan pakatan itu bukanlah antara WARISAN dan HARAPAN.
"Kami tidak memerlukan Pakatan di Sabah tetapi kami bekerjasama di peringkat nasional dengan mereka untuk membantu mereka mengalahkan BN. Di Sabah, kami bekerjasama dengan komponen Pakatan.
"Di Sabah, mereka yang masih relevan ialah PKR dan DAP," kata Wong kepada Malaysiakini.
Ditanya sama ada tidak ada rancangan untuk memasukkan AMANAH, Wong mengulangi faktor relevan.
Realiti politik di Sabah, katanya, juga berbeza dari semenanjung.
"Kami tidak berada di sini kali ini untuk menjaga perasaan semua orang, kami mahu menang pilihan raya.
"Kami tidak bersedia untuk memberi anda satu atau dua kerusi kerana anda berada di sini atau di sana," kata ADUN Likas itu.
Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan di kongres parti itu pada hari Isnin bahawa parti itu telah memeteraikan pakatan pilihan raya dengan DAP dan PKR.
Ketua AMANAH Sabah, Hamzah Abdullah mengesahkan bahawa AMANAH tidak pernah menjadi sebahagian daripada perbincangan antara ketiga-tiga parti itu.
"Mungkin kerana kami adalah parti kecil, saya tidak tahu. Tetapi kami ada mendengar cakap-cakap yang meminta AMANAH tidak bertanding di Sabah.
"Kami tidak pernah menerima sebarang jemputan untuk rundingan kerusi dengan WARISAN."
Bagaimanapun, Hamzah berkata, AMANAH akan meletakkan calon di kerusi Parlimen Kalabakan dan Batu Sapi, serta kerusi DUN Merotai dan Bugaya.
Ini, katanya, sudah dipersetujui oleh majlis presiden HARAPAN Sabah.
Ini juga disahkan oleh pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong.
"Tetapi saya tidak tahu bagaimana dalam perundingan dengan WARISAN.
"Saya tidak tahu sama ada AMANAH termasuk atau tidak, tetapi kita perlu masuk kerana kita adalah sebahagian daripada HARAPAN.
Wong berpendapat bahawa platform HARAPAN sepatutnya digunakan dalam perbincangan dengan WARISAN.
"Semasa mesyuarat HARAPAN, saya menyatakan bahawa kita perlu menggunakan HARAPAN secara menyeluruh untuk membincangkan. Tetapi (pengerusi HARAPAN Sabah) Christina (Liew) fikir sebaliknya."
Malaysiakini telah menghubungi Liew dan sedang menunggu maklum balasnya mengenai perkara itu.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau menyuarakan keprihatinannya itu kepada Shafie, Wong berkata tiada gunanya untuk beliau berbuat demikian.
"Kerana jika kita mahu menggunakan platform HARAPAN, kita harus berbincang dan bersetuju antara sesama kita.
"Saya tidak boleh bercakap dengan WARISAN dan berkata anda perlu berbincang dengan HARAPAN. Itu bukan cara yang betul," kata Wong.
Laporan tambahan oleh Kow Gah Chie.

