Bekas menteri Umno, Tan Sri Rafidah Aziz memberi amaran bahawa gigitan nyamuk boleh membunuh atau membawa kematian pada masa-masa tertentu.

"Ini sebagai mengulas kata-kata seseseorang yang merujuk BERSATU sebagai parti nyamuk. Spesies nyamuk yang betul boleh membunuh," katanya kepada Malaysiakini, tanpa menyebut sebarang nama.

Walau bagaimanapun, jelas bahawa kenyataan itu ditujukan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Semalam, Nazri berkata, BN tidak akan terjejas biar apa sekalipun keputusan pembubaran BERSATU kerana parti itu ibarat gigitan "nyamuk" kepada parti pemerintah.

"Tidak sama sekali (terjejas). Bagaimana jika nyamuk gigit kamu?

"Kamu hanya garu, sedap untuk menggaru," katanya susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengarahkan pembubaran sementara ke atas BERSATU.

Sementara itu, Rafidah memetik kata-kata Dalai Lama, yang berkata: "Jika kamu fikir dirimu terlalu kecil untuk membuat perbezaan, cuba tidur dengan nyamuk."

Dia juga memberi amaran kepada ahli-ahli politik supaya tidak sombong dan angkuh.

"Jangan terlalu bangga, jangan terlalu menunjuk-nunjuk. Ingat bahawa kamu hidup di planet dengan graviti. Apa yang naik, mesti turun," katanya.

Semalam, Ketua Pendaftar Suriyati Ibrahim mengumumkan bahawa BERSATU gagal mengemukakan maklumat lengkap dan dokumen yang diminta melalui notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.

"Saya nyatakan di sini bahawa PPBM (BERSATU) gagal serahkan sepenuhnya segala butiran, maklumat dan dokumen yang diminta.

"Oleh itu, sebagai ketua pendaftar, saya telah mengambil inisiatif sebagai mana notis di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966 mengenakan perintah pembubaran sementara,” katanya.

Dalam respon segera, Rafidah menyifatkan langkah itu sebagai keji dan menyoal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika beliau begitu takut terhadap Dr Mahathir Mohamad, yang mengasakan bersama BERSATU sehingga tergamak menggunakan taktik sedemikian.

Beliau juga menggesa perdana menteri, yang sering menggambarkan dirinya sebagai "pahlawan Bugis", untuk “bertanding dan bertarung seperti seorang pendekar”.

ROS secara tekal menafikan bersekongkol dengan kerajaan.