Susulan kenyataan polis yang membersihkan namanya hari ini, Ketua Umno Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar meminta semua pihak berhenti mengecamnya berkaitan isu penahanan dan penggunaan dadah.

"Saya bersyukur dengan keputusan Jabatan patologi Hospital Kuala Lumpur ke atas ujian air kencing yang menunjukkan negatif dan bebas daripada kesan dadah.

"Saya memohon semua pihak berhenti menyebarkan isu ini di media sosial yang berbentuk serangan dan fitnah berterusan terhadap saya," katanya dalam kenyataan.

Pada awal pagi Isnin lalu, Rizalman ditahan bersama-sama sembilan individu lain ditahan di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur. Ujian saringan polis menunjukkan kesemuanya positif dadah.

Dalam sidang media dua hari kemudian, beliau mengadakan sidang media bagi menafikan ada menggunakan dadah dan mendakwa dianiaya atas sebab politik.

Beliau menjadi sasaran sindiran di media sosial ekoran kenyataannya hanya meminum kopi dan minuman ringan ketika kejadian.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim hari ini mengesahkan keputusan ujian Jabatan Patologi HKL dan berkata tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Rizalman.

Dengan kenyataan itu, Rizalman berharap namanya, keluarga, Umno dan BN dapat dibersihkan.

"Tumpuan saya sekarang adalah meneruskan politik khidmat bakti dan membantu BN Bandar Tun Razak dalam PRU ke-14," katanya lagi.