Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Terengganu cabar Mahfuz kemuka bukti
Diterbitkan:  Apr 8, 2018 4:07 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

PAS Terengganu mencabar bekas naib presiden mereka, Datuk Mahfuz Omar mengemukakan bukti susulan dakwaan parti itu menerima dana daripada Umno.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahri Mamat berkata, beliau juga mencabar Mahfuz membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis supaya perkara itu disiasat.

"Sehari dua ini, bekas ahli parlimen Pokok Sena kata Umno masuk duit kepada PAS Terengganu.

"Dia kata pemegang amanah termasuk saya, kawan-kawan mesej cakap jangan makan seorang.

"Kita cabar dia biar buat laporan SPRM, buat laporan polis biar mereka siasat," katanya dipetik dalam satu video ceramah, di Terengganu, semalam.

Terdahulu, Mahfuz dilaporkan portal Malaysiadateline sebagai berkata terdapat tiga orang pemimpin PAS Terengganu menerima wang sebanyak RM1 juta daripada pemimpin Umno tertentu.

Beliau yang kini dilantik sebagai naib presiden AMANAH juga menamakan tiga individu yang menjadi pemimpin PAS Terengganu sebagai pemegang amanah kepada dana berkenaan.

Sementara itu, Saiful yang juga penyandang anggota dewan undangan negeri (ADUN) Paka menempelak dakwaan tersebut sambil menyifatkan jumlah RM1 juta itu tidak memadai.

"Ini sejuta (RM1 juta) bagi tiga orang, nak bahagi macam mana kereta sebuah pun tak lepas.

"Sebab itu kita kata pergi lapor SPRM, lapor polis supaya disiasat jangan buat tuduhan ikut sedap," jelasnya.

Tukang dakwa kena bawa bukti

Tambah beliau, dalam Islam sendiri juga menegaskan pihak yang mendakwa perlu mengemukakan bukti.

"Dalam Islam pun hak membawa bukti itu si pendakwa, tukang dakwa kena bawa bukti.

"(Kita) Nak saman guane (macam mana), dialah kena buktikan," katanya.

Malam tadi, isu tersebut turut disentuh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang menuntut Mahfuz membuat laporan kepada pihak berkuasa.

 


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS