PRU14 | Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengibaratkan pertembungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN dalam PRU ke-14 seperti perlawanan dua gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool dengan Manchester United.

Beliau berkata pilihan raya kali ini hanya tentang pertembungan dua gabungan politik itu bagi merebut sokongan rakyat untuk mentadbir negara.

"Pilihan hanyalah HARAPAN atau BN, tiada pilihan lain. Sama seperti ketika Liverpool lawan Manchester United.

"Jika perlawanan antara dua pasukan ini berlangsung, peminat sudah tak tengok pasukan lain," katanya (gambar) sambil mengakui meminati pasukan Liverpool.

Untuk rekod, Datuk Seri Najib Razak dan Khairy Jamaluddin antara pemimpin BN yang memang dikenali sebagai penyokong Manchester United.

Saifuddin berkata demikian ketika berucap pada pelancaran jentera pilihan raya PKR di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Shah Alam hari ini.

Turut hadir adalah barisan pemimpin utama dan 3,000 anggota parti dari seluruh negara.

Selain HARAPAN dan BN, satu lagi gabungan politik yang bertanding dalam PRU kali ini adalah Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pertembungan antara dua gabungan itu bertambah sengit apabila parti komponen HARAPAN akhirnya mencapai keputusan untuk menggunakan satu logo sahaja buat semua calon mereka.

"Simbol PKR akan digunakan semua parti (HARAPAN), untuk kali pertama BN akan berdepan dengan pembangkang yang bersatu (dengan logo sama).

"Persaingan kali ini kita hidangkan dua pilihan buat rakyat Malaysia. Jika pilihannya adalah BN maka status quo kekal dan derita rakyat tidak akan berkesudahan," katanya lagi.