Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Susulan dakwaan Rafidah, PATRIOT bangkit 3 soalan
Diterbitkan:  Apr 9, 2018 4:56 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) membangkitkan tiga soalan kepada Datuk Seri Najib Razak, susulan surat terbuka Tan Sri Rafidah Aziz yang mendakwa Najib menswastakan tanah tentera.

Rafidah yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendakwa Najib ketika menjadi Menteri Pertahanan pada 2007 telah mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara kepada sebuah syarikat milik tiga individu.

"Berikutan pendedahan dan dakwaan itu, pastinya 300,000 pesara tentera, tentera yang masih berkhidmat, dan orang awam secara umumnya, merasa terkejut.

"Banyak soalan yang muncul, terutama dengan penutupan mengaibkan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sg Besi, dan pindahan kem tentera di kawasan terpencil seluruh negara, kerana nilai komersial (tapak asal) yang tinggi," kata presidennya Brid. Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji dalam kenyataan.

Mohamed Arshad berkata, penswastaan tanah strategik dan bernilai tinggi milik tentera adalah hal serius.

"Ia tidak boleh ditentukan seorang menteri kabinet, tanpa dibahaskan di Parlimen dan tanpa pengetahuan orang awam.

Lebih utama, pandangan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang amat penting tidak diminta langsung.

"Pesara yang telah berkhidmat di kem itu juga menyimpan perasaan sentimental tinggi, dan suara mereka juga perlu didengar," katanya lagi.

bukan komersil saja

Berikut adalah soalan Mohamed Arshad terhadap Najib:

- Apa yang telah berlaku kepada syor itu sepanjang 10 tahun, daripada 2007 hingga kini?

- adakah kesemua kira-kira 40,000 hektar tanah tentera yang terbabit diswastakan?

- Jika ya, kepada syarikat mana dan siapa pemiliknya?

Mengulas lanjut, Mohamed Arshad berkata semua tanah milik tentera dan Kementerian Pertahanan terletak di lokasi strategik di seluruh negara.

"Selain nilai komersil, sebarang pemindahan pangkalan tentera juga mempunyai implikasi strategik, keselamatan dan pertahanan.

"Kami menuggu jawapan terhadap soalan ini," katanya lagi.

Dalam surat terbuka yang disiarkan di Facebook semalam, Rafidah berkata syor itu dibuat kepada kerajaan pada 2007 dan Najib selaku Menteri Pertahanan meluluskannya.

"Saya merasa tidak senang dan bertanya kepada anda di Kabinet. Bagaimana syarikat yang tidak dikenali boleh terpilih?" kata Rafidah.


Nota editor: Malaysiakini sebelum ini melaporkan Rafidah menyebut terdapat mesyuarat kabinet berkaitan projek penswastaan itu pada penghujung tahun 2008. Beliau kemudian menjelaskan tahun sebenar adalah 2007. Maklumat dalam laporan di atas telah diperbetulkan.

Lihat Komen
ADS