Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M umum 12 calon AMANAH di Pahang
Diterbitkan:  Apr 10, 2018 12:34 AM
Dikemaskini: 4:40 PM

PRU14 | Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan 12 calon yang akan diletakkan Parti Amanah Negara (AMANAH) bertanding di Pahang pada pilihan raya umum akan datang ini.

Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir menjadi calon tunggal parlimen bagi negeri itu. Beliau akan bertanding kerusi parlimen Temerloh.

Penyandang kerusi Temerloh sekarang ialah Nasrudin Hassan daripada PAS. Belum dapat disahkan sama ada beliau akan mempertahan kerusi berkenaan atau sebaliknya.

Daripada senarai 12 orang calon AMANAH yang diumumkan itu, sekurang-kurangnya empat orang daripada mereka ialah guru sekolah.

Mereka ialah Norhaizan Abu Hassan (Pelangai), Adnan Abdul Manan (Kerdau), Jalani Ludin (Jengka) and Ahmad Sazili Mohd Nor (Tioman).

Calon DUN lain yang diumumkan malam ini ialah Zulkifli Mohamed (Beserah), Nur Addin Ibrahim (Lepar), Hamzah Jaaffar (Dong), Jamaluddin Abd Rahim (Pulau Tawar), Ahmad Majdil Fauzi Abd Aziz (Guai), Adnan Abdul Manan (Kerdau), Sabrina Md Yusoff (Tanjung Lumpur), Syed Hamid Syed Mohamed (Kuala Semantan).

Mahathir ketika berucap memaklumkan ribuan orang hadir dalam ceramah di Temerloh malam ini.

"Ada kata Pahang tak suka Pakatan Harapan, bohong.

"Malam ini jelas, lihat (betapa ramainya) rakyat di Temerloh sahaja," kata beliau.

Mahathir menyebut perdana menteri (kerajaan sementara) Datuk Seri Najib Razak dan berkata bagi program BN orang ramai didatangkan dengan bas.

"Kalau Najib buat perhimpunan kita lihat banyak bas angkut orang dari Kedah, Perlis, banyak, tapi itu bukan orang tempatan.

"Tuan-tuan datang dengan kereta, motor sendiri, bahkan ada jalan sendiri.

"Ini semangat kita bukan macam dia lancar manifesto. Kononnya ada 14,000 orang, 1000 bas, bagi makan, duit, dia bukan nak dengar, dia datang nak tengok KL," kata beliau.

Pengumuman malam ini tidak melibatkan calon dari PKR dan BERSATU.

Bagaimanapun, Pengerusi HARAPAN Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman memberitahu Malaysiakini senarai calon tersebut telah dimuktamadkan.

"Tapi akan diumumkan dalam minggu ini, kami mahu berikan suspense," kata beliau.

DAP telahpun mengumumkan senarai calon mereka untuk Pahang malam tadi.

Mereka ialah Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang akan bertanding parlimen Raub dan lapan calon DUN iaitu - Abu Bakar Lebai Sudin (Pulau Manis), Young Syefura Othman (Ketari), Leong Yu Mun (Triang), Woo Chee Wan (Mentakab) DR Kamache (Sabai), Lee Chin Chen (Bilut), Chow Yu Hui (Tras) and Chong Yoke Kong (Tanah Rata).

 


Laporan tambahan oleh Norman Goh

 


 

Lihat Komen
ADS