BERITA Malaysiakini

Setia tentera tetap pada raja dan negara, bukan parti politik

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRU14 |  Selepas lebih seminggu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tampil menjernihkan keadaan.

Katanya kesetiaan ATM adalah berkiblatkan kepada raja dan negara, bukannya mana-mana parti politik.

Raja Mohamed Affandi berkata demikian selepas kenyataannya sebelum ini - yang menggesa anggota tentera dan polis bersyukur serta setia kepada kerajaan yang diketuai Datuk Seri Najib Razak - hangat diperkatakan.

Menurut laporan Utusan Borneo, Raja Mohamed Affandi memberitahu, ATM sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat serta kerajaan yang memerintah.

“Dalam jiwa seorang anggota tentera - dari saat mereka lahir sehingga mati - malah veteranya, masih mempunyai satu semangat iaitu ketaat dan kesetiaan yang kuat kepada raja dan negara. Itu tak pernah pudar.

"Jadi saya ingin nyatakan bahawa warga ATM adalah golongan yang mempunyai perasaan taat setia kepada raja dan negara yang tidak berbelah bahagi.

“Itu telah ditunjukkan melalui pengorbanan mereka yang rela mati dan berkorban segalanya demi menunjukkan ketaatan dan kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya yang dipetik sebagai berkata ketika mengadakan sidang media di Kuching, Sarawak.

Pada 31 Mac lalu Malaysiakini melaporkan, Raja Mohamed Affandi berkata Najib sentiasa memberi perhatian khusus kepada pasukan keselamatan di samping menyediakan aset keselamatan terbaik.

Beliau juga berkata, kerajaan juga telah melakukan banyak perkara untuk menjaga kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka.

Sementara itu, menteri pertahanan sementara Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut hadir pada sidang media berkenaan mengingatkan pihak-pihak tertentu agar tidak mempersoalkan kesetiaan anggota bersenjata.

“Jangan cuba nak perlekehkan warga ATM dan jangan cuba nak mengaburi mata orang luar kerana tuduhan (warga ATM memihak kepada sebelah parti) sebegini rupa adalah menyedihkan di mana ia telah digembar-gemburkan oleh pemimpin dahulu di mana ketaatan dan kesetiaan yang diberikan kepadanya dulu juga tidak berbelah bahagi.

“Cukuplah, mesti ada had dan batasannya juga dalam kita hendak meraih sokongan dan berpolitik,” kata Hishammuddin yang dipetik daripada laporan itu.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, namun difahamkan kenyataan “pemimpin dahulu” itu merujuk kepada bekas perdana menteri yang kini pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mengkritik kenyataan Raja Mohamed Affandi.