Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 | Akhirnya khabar angin pembubaran parlimen menjadi kenyataan setelah Datuk Seri Najib Raazak mengumumkan pembubaran parlimen berkuat kuasa 7 April 2018 bagi membuka laluan PRU ke-14 diadakan.

Sepatutnya Najib akan kelihatan tenang dan yakin semasa membuat pengumuman berkenaan, tetapi bahasa badannya membayangkan sebaliknya.

Beliau kelihatan serius dengan bahu yang kaku seolah-olah membaca pengumuman dalam keadaan terpaksa.

Ramai juga warga maya berkongsi pandangan sama. Ada yang kata Najib nampak tersepit dan pucat.

Mungkinkah kerana beliau tidak ada pilihan lagi kecuali mengumumkan pembubaran itu?

Mungkinkah kerana beliau tidak yakin strategi persempadanan semula dan mengharamkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) boleh memenangkan BN?

Tak apalah, tiada manfaat apa pun untuk kita membaca isi hati atau gerak badan beliau sekarang. Apa yang penting parlimen dibubarkan dan PRU ke-14 bakal diadakan dalam tempoh 60 hari dari 7 April lalu.

Langkah Umno, BN termati

Ia adalah peluang buat rakyat memilih kepimpinan negara dan menentukan hala tuju Malaysia untuk lima tahun ke hadapan.

Menurut Presiden PKR dan Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada PRU akan datang ini rakyat mempunyai pilihan untuk memansuhkan atau mengekalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), juga membersihkan negara daripada rasuah atau kekalkan yang ada.

Isyarat yang diberi Dr Wan Azizah itu amat jelas. Pertembungan dalam PRU-14 kelak ialah persaingan antara BN dan HARAPAN.

Ini tambah jelas apabila Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan di Pasir Gudang, Johor pada malam 6 April bahawa gabungan pembangkang terbabit akan menyertai PRU ke-14 menggunakan satu lambang iaitu logo PKR.

Justeru, tidak timbul pergantungan kepada logo HARAPAN yang kelihatan sengaja ditangguh-tangguhkan kelulusannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tidak timbul isu pembubaran sementara ke atas BERSATU.

Penggunaan satu logo itu dilihat mematikan langkah Umno dan BN untuk menggagalkan kesepaduan dalam HARAPAN. Ia juga dilihat menenggelamkan pelancaran manifesto BN pada 7 April.

“Keputusan mengguna satu logo adalah satu keputusan besar yang menampilkan kesetiakawanan HARAPAN,” tegas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudddin Nasution Ismail pada hari sama.

Sokong agenda perubahan

"Keputusan DAP untuk tidak menggunakan logo roket yang sudah berada di atas kertas undi sejak 11 PRU bermula 1969 bukanlah perkara yang mudah.

"Ia merupakan keputusan yang paling menyakitkan dan menyayat hati," kata pengasas DAP, Lim Kit Siang dalam catatan blognya.

Namun kata Lim, PRU ke-14 mungkin satu-satunya peluang dalam beberapa dekad untuk menukar kerajaan Persekutuan dan untuk Malaysia mengambil langkah pertama menjadikan ia negara demokrasi yang normal apabila pengundi dapat mengubah kerajaan secara aman dan demokratik.

Dalam keadaan BN didominasi Umno dan pada masa sama sokongan bukan Melayu kepada MCA dan MIC merudum, selain perpecahan dalam Umno sendiri, dakwaan skandal rasuah terhadap Najib dan pimpinan serta bebanan GST, PRU ke-14 dilihat ramai pemerhati politik sebagai peluang terbaik kepada yang HARAPAN.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya pada 7 April menyifatkan PRU ke-14 sebagai peluang terbaik untuk rakyat mengecapi udara bebas daripada beban dan kerenah harga barang yang meningkat akibat GST.

“Tidak bermakna bagi kalangan yang merasakan bebas tetapi hidup dengan permikiran terbelenggu, takut menyatakan yang hak dan menafikan rompakan besar yang berlaku seperti dalam skandal 1MDB dan Felda," ujarnya.

Beliau juga menyeru rakyat terutama kalangan muda untuk berani tampil mendukung agenda perubahan dan menyokong HARAPAN dalam PRU ke-14.

Justeru, apakah tindakan kita?

Dengan pembubaran parlimen, parti-parti politik dalam HARAPAN sudah tentu membuat persediaan bilik-bilik gerakan, bahan-bahan kempen, penentuan calon dan jentera di samping melipatgandakan usaha menyantuni rakyat dengan warkah “Buku Harapan” dan kisah kejayaan Selangor serta Pulau Pinang.

Masa berteori sudah tamat. Masa sekarang ialah membuktikannya dengan tindakan.

Sebagai rakyat biasa yang tidak terlibat dalam parti politik tetapi ingin memberi sumbangan bersama, anda boleh menawarkan diri sebagai sukarelawan dengan menjadi petugas bilik gerakan, petugas pemasangan bendera, petugas program dan yang paling penting petugas ejen mengundi dan ejen mengira undi (atau ringkasnya PACA).

PACA amat penting sebagai benteng pemerhati kepada penipuan atau penyelewengan proses pengundian. Parti politik dan Invoke Malaysia sedang giat merekrut PACA tetapi jumlahnya belum mencukupi.

Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk menawarkan diri dengan segera melalui parti-parti politik dan Invoke Malaysia.

Pertembungan PRU kali ini bukan semata-mata BN berlawan dengan HARAPAN, atau Umno lawan PKR. Pertembungan kali ini ialah pertembungan rakyat yang perlu mengambil kuasa itu daripada kerajaan dan menjadikan ia kuasa rakyat.

Rakyat ada kuasa dalam PRU kali ini untuk tentukan kerajaan yang bagaimana dikehendaki. Undi BN - undi Najib dan GST. Undi HARAPAN - undi tokoh-tokoh negarawan dan pimpinan berpengalaman yang teruji, menolak rasuah dan GST supaya martabat bangsa dan negara Malaysia dapat diangkat.


SYED IBRAHIM SYED NOH ialah ketua penerangan PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS