HARAPAN failkan prosiding hina mahkamah ke atas ROS
Pakatan Harapan akan memfailkan permohonan untuk kebenaran merujuk Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Surayati Ibrahim kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan menghina mahkamah, petang ini.
Peguam HARAPAN, Michelle Ng dan Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata mereka juga akan memfailkan sijil perakuan segera bagi permohonan menghina itu dibicarakan pada kadar segera.
"Permohonan ini (menghina mahkamah) akan didengar terlebih dahulu daripada substansif berhubung merit cabaran HARAPAN terhadap ROS dalam tidak membenarkan pendaftaran gabungan itu.
"Kami berharap untuk mendapatkan tarikh perbicaraan sebelum pilihan raya," kata Ng kepada pemberita selepas pengurusan kes hari ini.
Hari pengundian ditetapkan pada 9 Mei manakala hari penamaan calon pula adalah pada 28 April.
Sementara itu, Ng berkata Hakim Datuk Azizah Nawawi juga menetapkan 15 Mei sebagai pengurusan kes berhubung permohonan utama HARAPAN.
Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan mewakili Jabatan Peguam Negara.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan HARAPAN mahu memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk merujuk Surayati dan ROS ke prosiding menghina mahkamah.
Ini susulan langkah ROS membubarkan komponen HARAPAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Khamis lalu, kira-kira dua jam sebelum pendengaran permohonan merit permohonan gabungan itu untuk didaftarkan secara rasmi.
Hakim Azizah kemudian membenarkan penangguhan ke tarikh 11 April untuk sebutan kes sementara menunggu kedua-dua belah pihak memfailkan dokumen-dokumen berkaitan.

