Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agenda saya untuk rakyat, kata Rafidah
Diterbitkan:  Apr 11, 2018 5:44 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Tan Sri Rafidah Aziz berkata beliau tiada agenda tersembunyi apabila mengkritik kerajaan, termasuk yang terbaru isu dakwaan tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu membalas kenyataan Menteri Pertahanan sementara Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkannya mempunyai niat tersembunyi apabila membuat dakwaan berkenaan tanah ATM.

"Saya ulangi bahawa tuduhan ini tiada asas dan fitnah bulat-bulat. Harap pihak lain yang berkepentingan akan jawab secara fakta...Di sini, dia Rafidah memang mahu tekankan (sasar) kepada Najib dan saya," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Rafidah berkata Hishammuddin tidak perlu membuat spekulasi berhubung niatnya yang hanya mahu memberi penjelasan kepada orang ramai tentang apa yang berlaku.

"Agenda saya adalah agenda rakyat, untuk jelaskan perkara sebenar kepada rakyat.

"Bukan macam sesetengah mereka, mesti ada agenda peribadi. Saya tidak bertanding dalam PRU," katanya kepada Malaysiakini.

Hishamuddin juga berkata dakwaan tersebut bersifat serangan peribadi menjelang PRU ke-14.

Katanya, bekas Ketua Wanita Umno itu mempunyai masa yang lama untuk membangkitkan perkara itu tetapi baru kini berbuat demikian.

Rafidah bagaimanapun berkata tiada siapa yang melakukan kesalahan dapat berselindung daripada Tuhan.

"Siapa boleh berselindung daripada Allah yang maha melihat dan mengetahui segalanya. BN dan mereka yang gelar diri sebagai 'pemimpin' boleh berselindung?" soalnya.

Dalam surat terbukanya 8 April lalu, Rafidah mendakwa Najib ketika menjadi Menteri Pertahanan pada 2007 mengesyorkan agar kira-kira 40,000 hektar tanah milik ATM seluruh negara diswastakan kepada syarikat yang dimiliki tiga individu.

Beliau mendakwa tanah itu dipajak selama 40 tahun dan selepas penilaian semula dibuat terhadap harga tanah itu, syarikat terbabit mengaut untung berkali ganda.

Lihat Komen
ADS