Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU14: Seng Giaw kritik DAP guna logo PKR
Diterbitkan:  Apr 12, 2018 10:06 AM
Dikemaskini: 2:19 AM

Penyandang anggota parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mempertikaikan keputusan DAP yang ingin menggunakan logo PKR pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Tan berkata, kepimpinan tertinggi DAP sepatutnya mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan untuk menggunakan logo PKR.

Ini kerana menurut bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu, tindakan berkenaan akan memberi impak negatif pada parti.

“Susah payah 52 tahun berakhir dengan sekelip mata sahaja apabila (simbol) menjadi dua bulan sabit pula, merah jadi biru kerana ditukar warna.

"Masalah­nya, sama ada rakyat akan terima atau penyokong turut bersetuju (dengan tindakan tersebut).

"Apakah simbol ini akan hilang selama-lamanya atau akan digunakan lagi. Kalau boleh ubah simbol sekelip mata, apa lagi tidak boleh dibuat di dalam negara.

"Benda yang terpenting pun boleh diubah dengan begitu sahaja, ini masalah apabila manusia pandai-pandai (buat keputusan),” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam laporan Utusan Malaysia.

DAP menggugurkan Tan daripada menjadi calon pada PRU14 selepas 36 tahun beliau menjadi wakil rakyat di Kepong.

Kerusinya itu akan digantikan oleh anggota parlimen Segambut sementara Lim Lip Eng.

Pengguguran Tan itu dipercayai ekoran kenyataannya sebelum ini yang mengatakan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap syarikat 1MDB tidak membabitkan perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak. 

Jumaat lalu Pakatan Harapan (HARAPAN) mengumumkan mereka akan menggunakan logo PKR pada PRU14.

Ia diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun DAP Sarawak akan kekal menggunakan logo roket manakala PKR dan AMANAH pula menggunakan logo ‘mata’.

 

 

Lihat Komen
ADS