Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Soal balas Siti Kasim dan mufti Perlis jadi tegang

INKUIRI SUHAKAM | Percubaan peguam Siti Kasim membangkitkan unsur ekstrem dalam fahaman Sunni ketika sesi soal balas dengan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mencetuskan ketegangan.

Ketika inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini, Siti yang mewakili Majlis Peguam bertanya tentang kerisauan Asri berhubung dakwaan penyebaran ajaran Syiah kerana ia mempunyai kaitan dengan aktiviti ekstremis.

Siti antaranya menyebut nama Abu Bakar Al-Baghdadi dan bertanya sama ada Asri tahu akan individu yang dikatakan sebagai pemimpin IS.

"Dia Syiah? soalnya, dan kemudian Asri berkata, "Saya tidak periksa."

Siti kemudian membalas, "Saya rasa semua orang tahu dia (berfahaman) Sunni."

Asri sebelum itu meminta Siti menjelaskan soalannya namun Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai, yang mengetuai panel inkuiri, mengingatkan mereka berdua agar kekal tertib dan tidak memulakan pertikaman lidah.

Siti bertegas dan cuba bertanya Asri (gambar) sama ada beliau tahu tentang Osama bin Ladin. Mah kemudian meminta Siti menghentikannya.

Mah juga memberi peringatan kepada Siti ketika beliau bertanya Asri sama ada beliau bersetuju dengan kehilangan aktivis Amri Che Mat yang bersifat extrajudicial (di luar bidang kehakiman) memandangkan pendiriannya yang antiSyiah.

Mah berkata istilah extrajudicial itu tidak pernah berbangkit sepanjang inkuiri manakala soal "kehilangan secara paksa" belum diputuskan panel.

Asri berulang kali meminta Siti menjelaskan soalannya yang mengundang satu lagi peringatan daripada Mah.

"Tugas anda adalah mejawab soalan, bukan bertanya kembali kepada orang yang bertanya," kata Mah kepada Asri. Asri kemudian berkata beliau tiada jawapan untuk soalan itu.

"Saya tidak perlu menjawab soalan bodoh seperti itu," kata Asri di akhir sesi pagi pendengaran awam.

Terdahulu, Siti menanyakan beberapa soalan "ya" atau "tidak". Ketika sesi itu, Asri bersetuju yang beliau pernah dituduh berliran Wahabi.

Fatwa kebangsaan

Pada 2015, Majlis Fatwa Kebangsaan mengiystiharkan Wahabi sebagai tidak sesuai diamalkan di Malaysia memandangkan pengikutnya cenderung untuk melaberlorang Islam yang tidak mengikut fahaman itu sebagai terkeluar daripada Islam.

Dalam keterangannya, Asri mempertahankan padangannya bahawa Syiah ancaman kepada keselamatan negara kerana menurunya banyak unsur dalam ajarannya boleh membawa pengikutnya ke arah kegiatan ekstrem.

Suhakam kini menyiasat sama ada kehilangan Amri, pengasas NGO Perlis Hope, dan dua individu lain adalah "kehilangan secara paksa" sebagaimana yang ditakrifkan oleh International Convention for Protection of all Persons from Enforced Disappearances (ICPPED).

Ia mentakrifkan kehilangan secara paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau bentuk-bentuk lain perampasan kebebasan oleh ejen-ejen kerajaan atau oleh orang perseorangan, atau kumpulan-kumpulan orang perseorangan, bertindak dengan kelulusan, sokongan atau persetujuan kerajaan.

Dua lagi individu hilang yang disiasat Suhakam adalah paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu.

Suhakam sebelum ini menyiasat kehilangan paderi Raymond Koh tetapi terpaksa menghentikannya sementara sementara kes itu dibicarakan di mahkamah.

Lihat Komen
ADS