PRU14 l Seorang pensyarah universiti Dr Rozaimi Ramle menzahirkan rasa kegusaran beliau selepas wujud desas-desus bekas penganalisis politik dan ekonomi Wan Saiful Wan Jan yang baru menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mungkin tidak akan menjadi calon pilihan raya akan datang ini.

"Saya tidak mengenali Wan Saiful Wan Jan secara peribadi, namun saya mengikuti rapat tulisan dan ucapan beliau menganalisa isu-isu ekonomi dan politik negara.

"Bagi saya, keputusan beliau meninggalkan NGO yang beliau pimpin sebelum ini dan memilih menjadi ahli politik kepartian sepenuh masa demi negara perlu dihargai," kata Rozaimi dalam suatu hantaran di Facebook.

Mengulas, desas-desus mengenai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) itu, beliau berkata penglibatan tokoh-tokoh muda dalam
proses perubahan amat penting.

"Penglibatan tokoh-tokoh muda, berwibawa dan segar tanpa ada beban (baggage) kesilapan zaman silam amat penting bagi memastikan kejayaan agenda perubahan (islah) ke arah kebaikan yang didakwa dan cuba dibuat oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).

 

"Berita bahawa beliau tidak dipilih untuk bertanding di Titiwangsa, jika ia benar maka ia sedikit sebanyak menggusarkan saya," kata Rozaimi yang merupakan pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Saya bukan orang politik kepartian, tetapi sangat mendambakan Malaysia yang lebih baik dan sempurna dengan barisan kepemimpinan masa hadapan yang meyakinkan," kata beliau.

Rozaimi juga berharap BERSATU mengemukakan calon yang lebih baik lagi jika Wan Saiful tidak dipilih bertanding parlimen Titiwangsa.

"Jika tidak, saya benar-benar meragui keseriusan parti BERSATU memimpin perubahan.

"Jangan nanti dibilang orang, parti itu sama sahaja dengan parti sebelumnya," katanya lagi.

Peluang lebih baik lawan Johari

Sebelum ini, terdapat laporan yang menyebut BERSATU mungkin tidak akan meletakkan Wan Saiful sebagai calon dalam PRU14 ini.

"Wan Saiful memiliki peluang yang lebih baik untuk melawan Johari," kata sumber yang dipetik laporan itu.

Bagaimanapun, Wan Saiful menyerahkan keputusan berkenaan pencalonannya kepada pucuk pimpinan parti.

Pada 10 April 2018 lalu, Malaysiakini melaporkan Wan Saiful Wan Jan mengucapkan 'terima kasih' kepada penyandang kerusi parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani kerana mengambil 'tindakan serta merta' berhubung isu ujian HbA1c bagi pesakit kencing manis.

Pemimpin muda pembangkang itu bagaimanapun berkata perkembangan baru berkenaan hanya berlaku selepas beliau membangkitkan isu tersebut.

Dalam laporan itu, Wan Saiful disebut-sebut sebagai calon HARAPAN di parlimen sama, berkata beliau mendapat sepucuk surat rasmi kerajaan bertarikh 4 April yang tidak lagi membataskan ujian itu hanya setahun sekali.

Pada PRU13 lalu, Johari menang tipis kerusi Titiwangsa dengan majoriti 866 undi.