JAIP: Hantaran FB Perlis Hope ada kaitan Syiah
INKUIRI SUHAKAM | Jabatan Agama Islam Perlis (JAIP) telah mengambil tindakan ke atas NGO Perlis Hope berkenaan 'promosi agresif' kegiatan kebajikan sosial di Facebook yang didakwa cenderung berfahaman Syiah.
Pengarah JAIP Dr Hazman Hassan berkata beliau mendapati hantaran tersebut bertambah sekitar bulan September, 2016 dan memutuskan untuk mengambil tindakan pencegahan.
"Secara peribadi saya buka satu, satu kepada posting itu misalnya ada satu posting dia kata sedekah ini dapat mengelakkan bala pada hari-hari sial.
"Dalam kita Ahli Sunnah wal Jamaah kita tiada hari sial. Semua hari adalah baik. Apa sahaja Allah tetapkan berlaku kepada kita berlaku semuanya baik sama ada secara luaran," kata Hazman yang menjadi saksi ke 11 memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Datuk Mah Weng Kwai.
Hazman turut mendakwa hantaran Perlis Hope di FB kelihatan menunjukkan seolah-olahnya agensi kerajaan negeri seperti Baitulmal telah gagal melaksanakan tugasnya membantu orang ramai.

Hazman juga berkata hantaran Perlis Hope itu, jika tidak disekat, ia boleh menggugat ketenteraman awam
Pada ketika itu, Hazman berkata beliau baru tiga bulan menjadi Pengarah JAIP.
Dalam tindak balas terhadap hantaran Perlis Hope itu, Hazman berkata beliau mendapatkan kerjasama jabatan pendidikan melalui surat bertarikh 21 September 2016 bagi menghalang Perlis Hope daripada terlibat dalam kegiatan di sekolah atas dakwaan kaitan ajaran Syiah itu.
Beliah juga berkata mendapat maklumat Perlis Hope mahu masuk ke seolah-sekolah di Perlis atas program memberi pakaian seragam sekolah percuma.
Hazman berkata sebelum hal itu terjadi beliau memaklumkan kepada jabatan pendidikan negeri. Bagaimanapun, Hazman turut mengesahkan tiada tindakan susulan diambil terhadap Perlis Hope.
Panel sambung sidang
Sesi siasatan hari ini ditangguhkan pada jam 4.30 petang dan Mah berkata panel siasatan itu akan bersidang semula tiga hari lagi pada 15, 16 dan 17 Mei 2018 ini.
Suhakam sedang menyiasat sama ada Amri dan dua lagi individu hilang secara "dipaksa atau tanpa kerelaan", seperti yang ditakrifkan Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).
Dua lagi kes individu hilang yang sedang disiasat adalah paderi Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu.
Bagaimanapun , inkuiri bagi kehilangan paderi, Raymond Koh, ditangguhkan selepas polis mendakwa seorang suspek.
[Baca berita penuh]

