PRU14 l  Wanita Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berharap lebih ramai calon wanita akan diketengahkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata dalam usaha memenangi pilihan raya nanti, peluang kepada wanita tetap perlu diberi perhatian.

"Saya pun berdebar nak tunggu dan tengok peratusan wanita yang akan diberi tempat nanti, saya yakin semua Pengerusi BN Negeri, Ketua Menteri dan Menteri Besar akan menentukan ada calon wanita pada pilihan raya nanti. Kita memang mengharapkan kemenangan dalam waktu yang sama, perlu beri peluang kepada calon wanita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera PRU14 Wanita BN Sarawak di Dewan Suarah Kota Samarahan di Kota Samarahan hari ini.

Mengulas mengenai calon wanita Sarawak, Shahrizat berkata negeri ini memiliki rekod baik penglibatan wanita sebagai anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Berkenaan Sarawak pula, negeri ini mempunyai rekod prestasi yang baik membabitkan penglibatan wanita sebagai anggota Parlimen dan ADUN, saya harap dalam PRU14 akan ada peningkatan rekod kerana mereka (Sarawak) sentiasa konsisten memberi peluang kepada wanita.

“Tadi pun saya dah bisik dengan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) berkenaan penambahan calon wanita dari Sarawak," katanya.

Templat teras

Sementara itu, Shahrizat berkata Wanita BN mempunyai templat teras yang akan digunakan jentera pergerakan tersebut menghadapi PRU14.

Katanya sistem tersebut akan digunakan oleh seluruh negeri, namun ada sedikit kelainan mengikut kesesuaian mereka, mengambil kira faktor geografi dan lain-lain.

Sementara itu, dalam ucapannya, Shahrizat berkata BN Sarawak dilihat mampu mencapai sasaran menang 29 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada (PRU14).

Katanya, keyakinan itu dilontarkan apabila melihat persiapan rapi yang telah dilaksanakan sambil dibantu pergerakan wanita negeri.

"Sebagai ketua saya boleh katakan jentera Wanita BN Sarawak paling mantap, satu pasukan yang telah lama dibentuk oleh Tan Sri Empiang Jabu (bekas Ketua Wanta BN Sarawak) dan kini diteruskan oleh Datuk Seri Fatimah Abdullah (Ketua Wanita BN Sarawak).

"Melihat kepada pasukan yang mantap ini, bukan sahaja 29 kerusi kita mungkin boleh menang lebih lagi mungkin 30 atau 31 kerusi. Prestasi membanggakan pada pilihan raya negeri lalu sudah cukup untuk menggambarkan persediaan Wanita BN Sarawak" katanya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Shahrizat berkata dalam fasa terakhir menghadapi PRU14, anggota pergerakan tersebut diingatkan agar menjaga kesihatan dan terus bekerja tanpa jemu.

"Jaga kesihatan dalam tempoh ini kerana kesihatan amat penting. Selain itu jangan bosan, putus asa selepas bertahun-tahun bekerja keras untuk PRU14 sudah tiba masa untuk kita tuai hasilnya," katanya.

Dalam pada itu Shahrizat mengharapkan BN Sarawak dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam barisan kepimpinan negeri.

Akujanji Wanita BN S'wak

Manakala Wanita BN Sarawak hari ini menzahirkan lima akujanji bagi memastikan kejayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketuanya, Datuk Fatimah Abdullah berkata antara akujanji itu adalah bekerja sebagai satu pasukan padu dalam BN yang saling melengkapi dan menyokong demi kemenangan bergaya.

Selain itu, Wanita BN berganding bahu dan bekerjasama dengan Pemuda dan Badan Induk untuk memastikan 25 kerusi yang dimenangi dalam PRU 13 kekal dan dipertahankan selain empat lagi kerusi ditawan agar sasaran 29/31 kerusi Parlimen di Sarawak menjadi milik BN.

“Kami juga akan menjejaki pengundi dan mengkaji sikap mereka melalui Jalinan Rakyat Plus (JR+) supaya perkhidmatan yang diberikan menepati kehendak dan memenuhi aspirasi rakyat serta turun padang untuk memberi khidmat bakti dan menambat hati rakyat.

“Akujanji terakhir adalah terus berusaha menyalakan obor keyakinan dan kepercayaan terhadap kemampuan BN supaya semangat wanita terus semarak dan memberi sinar harapan kepada satu hasrat dan satu matlamat iaitu semua calon BN termasuk pejuang wanita menang bergaya,” katanya.

- Bernama