Zahid: Insya-Allah, Ahmad Razif kekal MB Terengganu
Di sebalik spekulasi bahawa Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah akan bertanding di DUN Batu Rakit pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan bakal menjadi calon menteri besar Terengganu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan yang berbeza.
Portal milik Umno, Utusan Malaysia memetiknya sebagai berkata Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman akan menyambung tanggungjawabnya sebagai menteri besar jika BN kembali menguasai negeri itu.
“Kita tahu bahawa menteri besar yang memimpin kita, Insya-Allah atas perkenan Tuanku Sultan Terengganu, beliau akan terus memimpin kita di negeri ini,” katanya.
Bayangan itu sedikit sebanyak menjawab desas-desus mengenai nasib ADUN Seberang Takir itu kononnya akan beralih bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus.
Pada 8 April lalu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, BN Terengganu perlu akur dengan calon menteri besar pilihan Datuk Seri Najib Razak jika mereka berjaya mengekalkan kemenangan di negeri itu pada PRU akan datang.
Jailani dikatakan tersenarai sebagai calon menteri besar bagi menstabilkan keadaan politik di negeri itu yang sering bergolak susulan pergeseran Ahmad Razif dengan pendahulunya, Datuk Seri Ahmad Said.
Setiausaha Politik Najib itu dikatakan akan bertanding di DUN Batu Rakit, manakala Ahmad Razif berpindah ke kerusi Parlimen Kuala Nerus yang dipegang PAS.
Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman bagaimanapun berkata pentadbiran negeri tidak berdepan banyak masalah bawah pimpinan Ahmad Razif.
Malah kata beliau, kedudukan Umno dan BN di sana kini lebih kukuh dan yakin mampu menambah beberapa kerusi DUN dan Parlimen pada PRU ke-14.
Pelantikan Razif untuk menggantikan Ahmad Said pada Mei 2104 mencetuskan krisis kepimpinan dan hampir-hampir menjatuhkan kerajaan negeri.
Ahmad Said dikatakan kecewa dengan perkara itu dan mengumumkan keluar Umno dan menjadi ADUN bebas, disusuli Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukti Besi, Roslee Daud.
Susulan itu, BN hanya memiliki 14 kerusi DUN manakala PAS dan PKR 15 kerusi.
Bagaimanapun ketiga-tiga mereka menarik balik keputusan untuk keluar Umno selepas campur tangan Najib.

