Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dusuki dibenar mengajar semula di Selangor
Diterbitkan:  Apr 13, 2018 11:19 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Penceramah bebas yang juga anggota perhubungan PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani diberi kebenaran semula untuk terus memegang tauliah mengajar di negeri itu.

Dalam surat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kepada Ahmad Dusuki, beliau dibenarkan untuk mengajar agama Islam atau apa-apa mengenai agama Islam di Selangor seperti yang ditetapkan bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran agama Islam 2003 pindaan 2015.

Bagaimanapun, surat yang bertarikh 12 April itu memberitahu, Ahmad Dusuki diingatkan agar sentiasa mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh membawa kepada 'taasub' dan kebencian secara langsung atau tidak langsung yang melibatkan umat Islam.

"Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor yang bersidang pada 10 April telah memutuskan bahawa tuan (Ahmad Dusuki) dibenarkan untuk terus memegang tauliah mengajar agama Islam atau apa-apa mengenai agama Islam di dalam negeri Selangor.

"Bagaimanapun tuan adalah diingatkan agar sentiasa mengelakkan diri dari membuat sebarang pengataan yang boleh membawa kepada ‘taasub’ dan ‘kebencian’ secara langsung atau tidak langsung melibatkan sesama umat Islam seperti dinyatakan di Para 17 (c), (d) dan Para 23 Peraturan-peratuan tauliah negeri Selangor 2008," menurut surat itu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Mais Mohd Shahzihan Ahmad.

Surat itu turut dikongsi Ahmad Dusuki di laman Facebooknya.

Pada 21 Mac lalu, Mais menggantung sementara tauliah Ahmad Dusuki selepas kontroversi doa "pakatan yang jahat" yang dibaca oleh penceramah itu semasa program munajat PAS di Shah Alam.

Sementara itu, selepas menerima surat berkenaan, Ahmad Dusuki kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada orang ramai melalui Facebook Live bagi mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Mais.

Dalam sesi pemakluman itu, Ahmad Dusuki turut menjelaskan mengenai tindakannya yang berdiam diri selepas menerima surat daripada Mais berhubung penggantungannya.

Jelasnya, beliau mengambil pendekatan untuk bertemu dengan pihak jabatan agama Islam bagi mendapat penjelasan serta memberitahu perkara sebenar berhubung doanya itu.

"Bila dipanggil dan diserahkan tentang surat penggantungan tauliah dan sebab digantung, antara isunya kerana disebabkan laporan yang dilakukan beberapa individu di kalangan ustaz terhadap doa yang saya baca di bumi Selangor ini."Isunya kerana saya telah buat kesilapan dalam saya berdoa, saya sendiri telah menterjemah doa yang diadaptasi dari qunut Nazilah yang bila diterjemah kemudian difahami dengan tak betul di kalangan media terutama media yang mengambil kesempatan menghentam dan mencari jalan untuk memusnahkan yang disebut kekuatan kita bersama ini.


Baca: Teks penuh doa PAS Selangor hancurkan 'pakatan jahat'



"Bila jumpa saya telah terangkan pada mereka kenapa keadaan saya baca doa (itu) dan sebagainya. Saya sebut kerana (ia) berdasarkan kepada suasana yang berlaku di kalangan masyarakat Islam pada hari ini.

"Saya jelas panjang lebar pada mereka," kata Ahmad Dusuki yang dipetik daripada rakaman video Live berkenaan.

Sehubungan itu, Ahmad Dusuki berkata, beliau melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang serta kebenaran oleh pihak Mais untuk meneruskan kuliahnya di Selangor.

"Mudah-mudahan surat ini akan jelaskan sedikit kekeliruan yang berlaku di kalangan kita hari ini. Mudahan kita akan dapat manfaat dengan apa yang berlaku dan mengambil iktibar yang baik dan bersatu atas umat Islam di atas fikrah yang baik dan di atas amalan yang baik sesama kita, insya-Allah.

"Terima kasih kepada jabatan agama Islam dan semua yang terlibat dengan urusan ini. Mudahan Allah beri kebaikan.

"Insya-Allah mulai esok (hari ini) akan kita aturkan siri-siri kuliah kita," kata Ahmad Dusuki lagi.

Lihat Komen
ADS