Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
C4: Tolak calon ada rekod rasuah, termasuk pembangkang

PRU14 | NGO Centre to Corruption and Cronyism (C4) menggesa pengundi menolak calon yang mempunyai rekod dakwaan rasuah.

Pengarah eksekutifnya Cynthia Gabrial berkata, ia termasuklah calon daripada pembangkang.

"Namun begitu, perlu diambil kira bahawa institusi kita dijejaskan dengan campur tangan eksekutif.

"Jelas pimpinan tertinggi politik dilindungi sistem yang korup," dakwanya kepada Malaysiakini.

Beliau (gambar) berkata demikian ketika ditanya sama ada seruan C4 itu juga untuk pembangkang memandangkan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad sering didakwa mengamalkan korupsi dan salah guna kuasa.

Selain itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan Peresiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Shafie Apdal dikaitkan dengan penyelewengan dana pembangunan luar bandar.

Dalam sidang media di Petaling Jaya, Cynthia berkata calon yang mempunyai rekod tidak baik tidak boleh diharapkan untuk mewakili rakyat untuk lima tahun akan datang.

"Apa yang kita perlu untuk PRU ke-14 adalah pembasmian rasuah secara keseluruhan dan penyingkiran pemimpin yang korup," katanya.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini hari ini Umno mungkin mencalonkan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di kerusi parlimen Bandar Tun Razak.

"Kami risau dengan laporan media menyatakan beberapa pemimpin khususnya daripada Umno, yang jelas mempunyai rekod buruk dalam soal rasuah, akan diletakkan sebagai calon pada PRU kali ini.

"Terutama Tan Sri Isa Samad di Negeri Sembilan dan Shahrizat yang mungkin bertanding di Bandar Tun Razak," katanya lagi.

Bernama semalam melaporkan nama Isa dikekalkan dalam senarai mereka yang mungkin menjadi calon BN di sana.

Cynthia bagaimanapun mengakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membersihkan Shahrizat dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC), serta tidak mendakwa Isa yang disiasat ekoran skandal tanah Felda di Jalan Semarak.

[Baca berita asal]
 

Lihat Komen
ADS