Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMANAH adakan rundingan baru kerusi DUN Paya Jaras

Parti Amanah Negara (AMANAH) melakukan rundingan semula bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras berikutan penyertaan penyandangnya Khairuddin Othman ke dalam PKR baru-baru ini.

Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir berkata, kerusi DUN Paya Jaras sebelum ini diserahkan kepada AMANAH tetapi PKR berhasrat meletakkan calon mereka di kerusi berkenaan.

"Paya Jaras sebelum ini diserahkan pada AMANAH tetapi ada perkembangan baru jadi PKR nak minta kerusi itu.

"Perundingan sepatutnya tak perlu kerana untuk kerusi itu dah selesai tapi sebab ada permintaan jadi kami berundinglah," katanya pada sidang media di Wisma AMANAH di ibu negara hari ini.

Pada Ahad lalu, Malaysiakini melaporkan, Khairuddin mengumumkan meninggalkan PAS untuk menyertai PKR dalam satu ceramah di Sungai Buloh.

Khairuddin dijangka mempertahankan kerusi Paya Jaras untuk parti barunya itu.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu masih belum disahkan sama ada Khairuddin akan mempertahankan Paya Jaras atau tidak.

Selain itu, ketika ditanya sama ada AMANAH akan memberikan kerusi Paya Jaras kepada PKR, Anuar berkata beliau berharap agar kerusi itu kekal milik partinya.

Bagaimanapun, katanya AMANAH sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan.

"Sebaiknya kami ingin kekal (Paya Jaras jadi milik AMANAH). Bagaimanapun tak ada yang kekal di dalam dunia ini.

"Kita sentiasa bertolak ansur dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan sehingga kami hanya mendapat 27 kerusi Parlimen sahaja.

"Kita sentiasa bertolak ansur tapi bukan bermakna kita mengalah," jelasnya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, pada sidang media sama, Anuar memberitahu, beliau menyerahkan kepada parti untuk membuat pengumuman berhubung kerusi Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Ketika ditanya sama ada Mohamad akan bertanding di Parlimen Kota Raja, Anuar tidak menjawabnya sebaliknya beliau mahu mewujudkan unsur suspen berhubung kerusi Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu.

"Biarlah perkara itu diumumkan kemudian. Biar ada unsur suspen," katanya sambil tersenyum.

Lihat Komen
ADS