Polis bertindak mengarahkan peserta perhimpunan "Tangkap Jho Low" di Kuala Lumpur bersurai beberapa minit sebelum ia dijadualkan bermula jam 2 petang ini.

Perhimpunan itu diadakan untuk menggesa penangkapan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang merupakan tokoh penting dalam penyiasatan terhadap pengubahan wang haram di Amerika Syarikat dan dinamakan dalam siri saman pelucuthakan yang berkaitan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharuddin Abdullah tiba di luar Sogo sejurus sebelum jam 2 petang dan mengeluarkan amaran kepada para peserta perhimpunan itu supaya bersurai.

Beliau mengarahkan mereka. terutama yang memakai kuning atau biru, supaya bersurai.

"Saya tidak benarkan sebarang perhimpunan diadakan di sini. Awak faham?" kata Shukri kepada seorang peserta yang bertegas dia mempunyai hak untuk berhimpun secara aman.

Tidak lama selepas itu, sekumpulan anggota polis dilihat menarik aktivis pelajar Luqmanul Hakim dan Asheeq Ali untuk "berbincang", manakala pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy cuba berunding dengan Shukri.

Penyokong melonjak ke arah pemimpin pelajar itu tetapi ditolak balik oleh polis.

Orang ramai yang menunggu terus melaungkan, "Tangkap Jho Low".

Pada kira-kira pukul 2.15 petang, Sevan mengumumkan dua minit "stand down" sementara mereka terus berunding dengan polis.

"Kami belum membuat sebarang keputusan, (sama ada untuk bergerak atau sebaliknya)," katanya kepada orang ramai.

Pada pukul 2.40 petang, penganjur menyeru orang ramai untuk berarak ke Dataran Merdeka, mengabaikan arahan polis.

Penyelaras Suaram, Amir Abdul Hadi, yang bercakap dari sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan memberitahu orang ramai bahawa pihak polis telah memberikan dua pilihan - berarak dan berdepan dengan tangkapan, atau kekal di situ dan berhimpun selama 30 minit.

Kira-kira 10 minit kemudian, kedengaran Shukri sekali lagi menggesa mereka bersurai, sejurus kemudian diikuti dengan amaran terakhir supaya mereka beredar dari jalan itu.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu tiba di tempat sekitar pukul 3 petang dan berucap kepada orang ramai dari belakang lori, yang telah dipindahkan ke tepi jalan.

Walaupun tidak jelas sama ada Mohamad telah meyakinkan penganjur untuk membatalkan rancangan mereka untuk berarak, orang ramai akhirnya bergerak ke arah anak tangga di sogo dan mendengar ucapan aktivis remaja yang mewakili penganjur perhimpunan itu, Anak Muda Cari Jho Low.

Selain laungan, nyanyian dan spanduk, penganjur perhimpunan membawa beberapa replika kapal layar Equanimity yang pihak berkuasa AS dakwa dibeli Jho Low menggunakan dana yang dibasuh, potongan kadbod hartawan kelahiran Pulau Pinang itu memakai topi dan penutup mata lanun, serta potongan kadbod selebriti Paris Hilton yang dilaporkan berparti di atas kapal itu.

Pada kira-kira jam 3.30 petang, Shukri, yang masih memantau perhimpunan itu, mengumumkan bahawa masa untuk mereka sudah tamat dan penganjur mematuhi permintaannya selepas menyerahkan memorandum mereka dengan tuntutan supaya polis mencari dan menangkap Jho Low.

Beliau kemudian memberitahu wartawan bahawa tiada penangkapan dibuat, sambil menambah penganjur telah mengemukakan notis sebelum itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, beliau telah memanggil mereka untuk perbincangan, dan dia telah menetapkan syarat-syarat, dan menurutnya, mereka gagal mematuhi syarat-syarat itu.

Tambahnya, pihak penganjur akan dipanggil untuk siasatan di bawah Akta tersebut.

[Baca berita penuh]