Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'kini disenarai pendek anugerah kewartawanan antarabangsa
Diterbitkan:  Apr 15, 2018 11:58 AM
Dikemaskini: 4:32 AM

Projek Malaysiakini yang menyorot masalah persempadanan kawasan pilihan raya tidak sekata (malapportionment) telah disenarai pendek untuk anugerah kewartawanan Global Editors Network (GEN) Data Journalism Awards.

Permainan Undi Power Malaysiakini membolehkan pengguna mengetahui 'sekuat mana' undi mereka dibandingkan dengan pengundi di kawasan pilihan raya lain, berdasarkan daftar pemilih pada suku pertama 2016.

Projek ini menunjukkan bagaimana sesetengah kawasan pilihan raya sama ada terlalu lebih atau terlalu kurang diwakili, dengan itu melanggar prinsip 'satu orang, satu undi' yang membantu memastikan kesaksamaan dalam demokrasi.

Undi Power disenarai pendek untuk News Data App of the Year Award bersama dengan penerbitan Wall Street Journal, Financial Times dan tiga yang lain untuk mewujudkan 'aplikasi kewartawanan data terbaik'.

Projek Undi Power juga disenarai pendek dengan 10 peserta lain bagi Public Choice Award (Anugerah Pilihan Awam), di mana orang ramai boleh mengundi projek kegemaran mereka.

Sementara itu, penyertaan berasingan daripada Malaysiakini turut disenarai pendek dengan enam lagi penyertaan bagi anugerah Investigation of the Year Award.

Projek Kematian Dalam Tahanan itu menyorot kes-kes kematian dalam tahanan polis dan mendedahkan kematian yang melibatkan mangsa-mangsa Melayu cenderung tidak dilaporkan dalam media.

Projek itu juga menggunakan penyampaian berunsur interaktif untuk mengajar pembaca mengenai hak mereka ketika berada dalam tahanan polis, berdasarkan kisah benar mangsa kematian dalam tahanan, Azlan Syed Mohamed Nur dan S Balamurugan.

Malaysiakini akan bersaing dengan akhbar Kanada, The Globe and Mail di Kanada, serta akhbar The Guardian US dan FiveThirtyEight dari Amerika Syarikat untuk anugerah "penyiasatan berasaskan data terbaik" dari sudut menggunakan pengumpulan data serta analisis untuk menyediakan wawasan mengenai topik kepentingan awam.

Projek Paradise Papers oleh International Consortium of Investigative Journalists, yang mana Malaysiakini menjadi salah satu rakan usahasama turut bersaing untuk anugerah itu.

Sebagai sebahagian daripada penyiasatan Paradise Papers, Malaysiakini mendapati ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, telah menerima nasihat undang-undang mengenai pencarian tempat selamat di Kepulauan Cayman dan British Virgin Island (BVI) berikutan pecahnya skandal 1MDB.

Secara keseluruhannya, GEN menerima 630 penyertaan dari 58 negara untuk anugerah tahun ini, jumlah terbesar sejak penubuhannya pada tahun 2012. Daripada jumlah ini, hanya 99 penyertaan yang disaring ke dalam senarai pendek.

Pemenang akan diumumkan dalam upacara di Sidang Kemuncak GEN di Lisbon, Portugal pada 31 Mei 2018 ini.

Pemenang setiap kategori akan membawa trofi dan AS$ 1,801 (RM7,988) secara tunai, ia sebagai memperingati penciptaan carta pai pertama oleh William Playfair pada tahun 1801.

Finalis akan dipilih oleh 18 panel juri peserta industri dari organisasi berita di seluruh dunia.
 

Lihat Komen
ADS