Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahrizat nafi bertanding di Bandar Tun Razak
Diterbitkan:  Apr 16, 2018 11:12 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

PRU14 | Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil menafikan laporan beliau bakal diletakkan sebagai calon bagi kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada pilihan raya kali ini.

"Ramai yang tanya sama ada saya akan terima tawaran untuk bertanding di parlimen Bandar Tun Razak.

"Jawapannya tidak, walaupun Bandar Tun Razak adalah kawasan yang mampu dimenangi BN dan tewaskan PKR," katanya menerusi Twitter hari ini.

Shahrizat dijangka membuat kemunculan semula pada pilihan raya kali ini selepas tidak bertanding pada PRU ke-13.

Pada PRU 2008, dalam salah satu kejutan terbesar pilihan raya itu, beliau tewas di tangan Nurul Izzah Anwar di parlimen Lembah Pantai - kerusi yang dipengangnya sejak 1995.

Minggu lalu, Malaysiakini memetik beberapa sumber yang mengesahkan BN akan meletakkan calon Umno di Bandar Tun Razak walaupun ia kerusi MCA.

Pada masa itu, sumber berkata Umno berhasrat meletakkan Shahrizat, berbanding Ketua Umno Bahagian di situ Datuk Rizalman Mokhtar yang ditahan dalam serbuan bersama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur.

Rizalman (gambar) pada mulanya didapati positif dadah namun keputusan daripada ujian Hospital Kuala Lumpur membersihkannya daripada kesalahan itu.

Desas-desus pencalonan Shahrizat itu pada mulanya mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi Umno Bandar Tun Razak dan Wilayah Persekutuan.

Bandar Tun Razak adalah kerusi tradisi MCA namun Umno menunjukkan hasrat untuk bertanding atas dasar lebih mendapat sokongan pengundi Melayu yang merangkumi lebih 50 peratus pengundi di situ.

Bandar Tun Razak jatuh ke tangan pembangkang pada 2008 apabila penyandangnya daripada MCA Datuk Tan Chai Ho tewas kepada Tan Sri Khalid Ibrahim dengan perbezaan 2,515 undi.

Khalid mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 11,823 undi pada PRU ke-13, namun menjadi wakil rakyat bebas selepas dipecat daripada PKR setahun kemudian.

Lihat Komen
ADS