Mangsa banjir Pasir Puteh tahun lalu terima bantuan hari ini
Seramai 247 ketua keluarga mangsa banjir di jajahan Pasir Puteh hari ini menerima bantuan banjir berjumlah RM123,500 yang dijanjikan kerajaan persekutuan untuk mereka sebelum ini.
Mereka yang ditimpa musibah banjir akhir tahun lepas masing-masing menerima bantuan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga bapa angkat kepada UMNO Bahagian Pasir Puteh.
"Bantuan seperti ini tidak mungkin dapat diberikan jika keadaan ekonomi negara hampir muflis sebagaimana tohmahan pihak pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berkenaan di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Puteh hari ini.

Asyraf Wajdi (gambar) berkata konflik yang berlaku di beberapa negara Islam di Timur Tengah yang rakyatnya hidup dalam ketakutan dan kebuluran sepatutnya dijadikan iktibar oleh rakyat Malaysia.
"Kerajaan negara terbabit tidak dapat membantu bagi meringankan beban rakyatnya kerana terpaksa membelanjakan peruntukan yang ada untuk sektor pertahanan,” katanya.
Beliau berkata sebaliknya di negara ini, kerajaan sentiasa membantu setiap kali rakyat menghadapi musibah seperti kebakaran dan bencana alam.
Sementara itu, seorang penerima bantuan Shamsuddin Awang, 64, dari Kampung Wakaf Bunut berkata bantuan itu amat bermakna kepadanya untuk menampung perbelanjaan rawatan beliau yang diserang angin ahmar.
Seorang lagi penerima, Hasiah Muhamad, 71, dari Kampung Baru berkata bantuan tersebut akan dibelanjakan pada Ramadan bulan depan.
-Bernama


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.