Umno nafi setuju MCA bertanding di Bandar Tun Razak
Umno Bandar Tun Razak nafi bersetuju MCA bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak selepas perbincangan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) diadakan.
Ketua Umno bahagian Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar memberitahu Malaysiakini bahawa tiada persetujuan sedemikian dicapai dan beliau kekal dengan pendiriannya bahawa Umno harus bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum bulan depan.
Rizalman menyangkal laporan media yang memetik ketua MCA bahagian Bandar Tun Razak, Chew Yin Keen yang mendakwa Umno tidak akan meletakkan calonnya di kerusi berkenaan.
"Mengikut persetujuan awal (dengan Umno), saya akan bertanding di Bandar Tun Razak," kata Chew yang dipetik oleh Guang Ming Daily semalam.
Dilaporkan bahawa kedua-dua pihak telah bertemu semalam.
Ketika dihubungi, Chew hanya mengakui mengadakan pertemuan berkenaan tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut.
"Kami telah bincangkan (mengenai isu bertanding di Bandar Tun Razak), tetapi kerana beliau (Rizalman) menafikannya, saya tidak boleh mengatakan apa-apa," katanya kepada Malaysiakini.
Beliau juga enggan mengesahkan sama ada beliau telah memberitahu media bahawa Umno setuju membenarkan MCA bertanding kerusi itu.
MCA memenangi Bandar Tun Razak pada tiga kali pilihan raya umum tetapi tewas kepada PKR pada tahun 2008.
Kekalahan itu mendorong Rizalman secara terbuka menuntut MCA menyerahkan kerusi itu kepada Umno.
Rizalman sendiri dikatakan berminat bertanding di kerusi itu sehingga beliau ditahan di sebuah kelab malam dalam operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis minggu lepas.
Beliau pada mulanya diuji positif dadah tetapi kemudian dilepaskan setelah disahkan negatif oleh polis.
Sumber Umno sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa Umno merancang meletakkan ketua wanitanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di kawasan itu.
Sharizat bagaimanapun menolak tawaran itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaku Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju adalah kerusi miliki MCA, tetapi berkata parti itu akan menggunakan pendekatan "pinjam satu, beri satu" terhadap kerusi berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.