Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tawar proses PRU lebih selesa jika jadi kerajaan
Diterbitkan:  Apr 17, 2018 4:59 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

PRU14 | PAS bercadang akan mengubah kaedah pengendalian pilihan raya umum (PRU) di negara ini jika mereka diberi mandat sebagai kerajaan.

Kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tarikh PRU sepatutnya ditentukan lebih awal, selain dipastikan berlangsung pada musim cuti.

Timbalan presiden PAS itu berkata langkah berkenaan dapat membuka ruang sebanyak-banyaknya kepada pengundi untuk terbabit dalam proses PRU.

"PAS berjanji sekiranya diberi mandat mentadbir nanti, PAS akan memastikan tarikh PRU ke-15 ditentukan jauh lebih awal dan berada pada musim cuti bagi memaksimumkan jumlah keluar pengundi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei ini untuk hari mengundi kepada rakyat Malaysia yang memenuhi syarat ditetapkan perlembagaan dan sudah mendaftar sebagai pengundi.

Ada lebih 4.9 juta pengundi berdaftar di negara ini dan daripada jumlah itu 4.6 juta dibenarkan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 9 Mei berkenaan.

Kira-kira 303,000 nama lagi akan menjadi pengundi awal sama ada melalui pos atau pusat pengundian yang dibuka di beberapa lokasi yang ditetapkan pada Sabtu, 5 Mei.

Untuk rekod 9 Mei ialah hari Rabu dan kerajaan mengisytiharkan ia sebagai cuti umum selepas mendapat kritikan ramai.

Harap kerjasama majikan

Namun ia dianggap masih menyukarkan orang ramai kerana 8 dan 10 Mei tetap dianggap hari bekerja.

Kata Tuan Ibrahim PAS juga mencadangkan kerajaan mengumumkan 8 Mei sebagai cuti umum bagi membantu pengundi yang perlu membuat perjalanan jauh bagi menunaikan kewajiban mereka.

"Isu utama yang menjadi rungutan orang ramai ialah kegagalan lebuh raya menampung jumlah kereta yang banyak.

"Demi mengelakkan kesesakan di lebuh raya, PAS menggesa kerajaan turut mengisytiharkan cuti umum pada 8 Mei agar rakyat Malaysia - terutamanya pengundi luar - dapat menunaikan tanggungjawab mengundi dengan selesa pada PRU ke-14 ini," katanya.

Tuan Ibrahim yang sebelum ini pernah menempelak SPR kerana "merompak hak rakyat" untuk memilih kerajaan apabila memilih Rabu sebagai hari mengundi, berkata langkah kerajaan membenarkan sekolah mengambil cuti gantian untuk persediaan PRU adalah baik.


Baca Hak SPR tentukan hari pengundian - Hadi


Bagaimanapun katanya ia tidak memadai buat pengundi luar yang perlu melakukan perjalanan pulang.

Katanya pengundi terbabit wajar diberi keselesaan semasa perjalanan berkenaan.

"PAS juga memohon agar semua majikan swasta memberi kelonggaran sewajarnya kepada para pengundi luar untuk menunaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS