Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PULASAN | Buat, atau katalah apa pun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah lama menanak nasi mereka. Dan nasi itu pula sekarang sudah menjadi bubur.

Kita - semua rakyat Malaysia yang layak mengundi - rela atau tidak, terpaksalah menghadap bubur itu dalam 'mangkuk' masing-masing untuk dihadam.

Siapa yang suka hari mengundi ditetapkan pada hari bekerja? Di pertengahan minggu pula.

Memang akan adalah yang suka, tetapi tidak ramai.

Tidak banyak hujah logik yang boleh difikirkan oleh akal waras kita untuk mengabsahkan Rabu sebagai hari mengundi.

SPR boleh memilih dua Sabtu untuk sebahagian daripada proses meraikan pesta demokrasi lima tahun sekali itu. Satu Sabtu untuk penamaan calon, dan Sabtu yang satu lagi bagi pengundi awal (dikenali juga dengan nama pengundi pos) memangkah kertas undi masing-masing.

Cuma hari mengundi untuk orang biasa, SPR memilih Rabu, 9 Mei. Daripada lebih 14.9 juta pengundi berdaftar di SPR, pada Rabu itu jugalah SPR mahu 14.6 juta rakyat yang berhak untuk meluangkan masa - dan mengambil cuti jika perlu - bagi membuat pilihan mengenai masa depan negara.

Sebagai perbandingan SPR memberi peluang kepada 300,255 orang pengundi awal terdiri daripada anggota polis atau tentera bersama pasangan masing-masing, dan petugas media menjalankan tanggungjawab itu pada 5 Mei.

Jika anda tidak tahu, 5 Mei itu jatuh pada hari Sabtu.

Sementara itu ada seramai 3,653 orang tergolong dalam kategori pengundi luar negara yang akan menggunakan perkhidmatan pos bagi menyerahkan pilihan masing-masing.

Demikian kebijaksanaan SPR mengurus pilihan raya umum (PRU) kali ini. Dan seperti pandangan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), kita kena hormat jugalah badan pengendali PRU berkenaan.

Tidak elok dan kurang manis membantah kata-kata seorang ulama KUIS. Tambahan pula dia pemimpin bertaraf dunia. Bagi pengagumnya, kata-kata itu perlu ditelan tanpa perlu dikunyah kerana ia adalah "seni politik" beliau yang selalu berada di luar kotak.

Dalam keadaan begitulah ada pihak tertentu menggerakkan inisiatif membantu pengundi yang bermastautin atau bermukim di lokasi jauh dari tempat mereka mengundi. Tentulah ada banyak motif yang boleh dijangkakan daripada tindakan itu.

Fikir masa depan

Apa pun, ia menjurus kepada menggalakkan setiap warga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi. SPR sendiri logiknya tentulah seronok kalau ramai pemilih hadir ke pusat pengundian untuk mengundi.

Hal keadaan mereka memilih hari yang langka dan memayahkan pengundi itu adalah hal yang memerlukan tafsiran mengikut ilmu makrifat yang sangat istimewa.

Mungkin juga keputusan itu sejenis seni urus tadbir bermaqam tinggi di pihak SPR yang tidak mampu dicapai akal kita.

Tapi langkah itu membuat SPR berada pada kedudukan seperti mencabar dan rakyat yang mempunyai kesedaran tinggi kepada negara wajib menyahutnya. Maka mereka - yang menetap di lokasi jauh dari tempat mengundi - mesti pulang.

Namun pulang mengundi pun tidaklah sekadar berbaris di pusat pengundian, menunjukkan kad pengenalan, menyerahkan jari untuk dicelup dakwat, memangkah kertas dan memasukkannya ke peti SPR.

Anda yang pulang untuk mengundi perlu memikirkan kesan daripada setiap satu pangkah yang ditandakan itu kerana ia memberi kesan besar untuk tempoh lima tahun akan datang (kecualilah ada kematian di kalangan wakil rakyat yang menang nanti).

Dan lebih penting, pihak yang akan menanggung kesan pangkah anda itu ialah orang yang bermastautin di tempat berkenaan. Biasanya, di kampung-kampunglah.

Lazimnya mereka ialah ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan yang tidak berhajat berhijrah, masih bersekolah, pesara yang menikmati hari-hari tua serta yang seumpama dengannya.

Serahkan pada 'malaikat' atau 'hantu'

Pengundi yang pulang untuk mengundi tentu boleh dianggap tidak cakna apabila pangkah yang dititipkan ke peti SPR itu bermakna saudara-mara dan sahabat taulan akan kekal 'dihukum' dengan masalah air bersih yang dialami sejak bertahun-tahun silam.

Atau ia mungkin menyebabkan seorang wakil rakyat yang menunjukkan mukanya di sesebuah kawasan hanya lima tahun sekali kekal menjadi wakil rakyat, dihormati dan dilayan seperti orang amat terhormat.

Ia juga mungkin bermakna masalah jalan berlubang, sampah tidak terurus dan projek mengayakan kroni akan berjalan seperti biasa ketika ramai rakyat terpaksa bergelut mencari sesuap nasi.

Anda - pengundi yang pulang sesekali - tidak akan terasa sangat kesan pangkah itu kerana selepas membuat pilihan, kawasan itu pun akan anda ditinggalkan.

Selepas memilih di kampung, anda mungkin kembali ke kota raya di tempat orang lain yang lebih bijak mengundi (untuk anda) dan tentulah tidak adil untuk terus hidup dengan lebih baik atas pilihan orang lain.

Tidak ada masalah jika pilihan yang dibuat itu tepat. Kalau pilihan yang diambil salah, anda sebenarnya berlaku zalim kerana meletakkan orang tidak bersalah terus dianiaya oleh wakil rakyat - dan parti politik - untuk lima tahun lagi.


Baca Dakwat kekal - SPR kata silap pilih nama


Kepulangan pengundi itu mungkin didorong oleh rasa terhutang budi, tetapi ia juga mungkin dibayangi rasa kesetiaan terhadap sesebuah parti.

Undi bukanlah terikat kepada ketaatan yang membuta tuli. Zaman parti meletakkan calon sembarangan di kawasan kampung atau luar bandar sudah berakhir bertahun-tahun lalu.

Sama juga halnya pengundi yang mesti memberikan sokongan kepada calon dengan hanya mengikut serapah yang dijaja di pentas-pentas ceramah - ia sudah berlalu.

Pilihan yang dibuat mestilah tepat dan cerdik. Bersusah payah mengundi untuk membuat pilihan salah, sama saja bebalnya dengan menghabiskan masa berbaris menanti giliran kemudian anda merosakkan undi.

Lainlah kalau anda mahu menyerahkan tugas memilih pemimpin dan kerajaan kepada 'malaikat' atau 'hantu' yang membawa kad pengenalan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS